Tanaman kontan bantu imbangi harga sayuran

Ahmad Tarmizi (kanan) menyerahkan bakul bantuan makanan kepada seorang pesawah pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin MADA di Yan pada Ahad.
Ahmad Tarmizi (kanan) menyerahkan bakul bantuan makanan kepada seorang pesawah pada Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan MAFI Prihatin MADA di Yan pada Ahad.
A
A
A

YAN - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) meningkatkan usaha pengeluaran tanaman kontan melalui peladang-peladangnya bagi membantu mengimbangi harga sayur-sayuran yang semakin meningkat di pasaran.

Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, menerusi dua projek di bawah agensi tersebut iaitu Projek Tanaman Kontan B40 dan Program Pemerkasaan Ekonomi Golongan B40 Usahawan Agro yang dijalankan sejak Mac tahun ini usaha itu diyakini antara inisiatif untuk mengatasi isu harga sayuran pada masa kini.

Menurut beliau, projek tersebut bertujuan menambah pengeluaran tanaman kontan, sayur-sayuran dan rempah ratus dalam usaha meningkatkan pendapatan petani dengan tumpuan diberi kepada golongan berpendapatan isi rumah di bawah RM4,850 setahun.

"Dengan meningkatkan hasil pengeluaran hasil tanaman kontan ini, MADA berharap ia juga mampu mengimbangi peningkatan harga sayur-sayuran, sekali gus dapat membela nasib peladang yang juga merupakan pengguna dan pengeluar makanan," katanya pada sidang akhbar di PPK-IV Permatang buloh, dekat sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bantuan Bakul Makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin MADA kepada 100 peladang yang pernah dijangkiti Covid-19 di bawah MADA.

Mengulas lanjut, Ahmad Tarmizi berkata, program pengeluaran tanaman kontan diharap dapat membantu menambah jumlah pengeluaran sayur-sayuran sekali gus dapat membantu menstabilkan harga sayur yang mahal berikutan permintaan tinggi pada masa ini.

"Pada tahun 2021 dan 2022, MADA memperuntukkan RM4.84 juta melibatkan 378 orang peserta untuk meningkatkan projek tanaman kontan dengan menambah jenis tanaman.

"Antara tanaman tersebut termasuklah cili, timun, halia, jagung dan beberapa jenis sayur lagi," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, tahun ini seramai 264 peserta program tersebut telah berjaya mengeluarkan hasil sebanyak 205.6 tan dengan nilai lebih RM1 juta dan sasaran seramai 250 lagi peserta akan menyertai program seumpamanya tahun hadapan.

"Projek ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan peluang pekerjaan dan dapat melahirkan lebih ramai usahawan baharu tanaman kontan.

"Projek ini juga memberi tumpuan kepada usahawan sedia ada dan peladang yang terlibat dalam rantaian industri padi," ujar beliau.