X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

PRN Sarawak bermula dengan penamaan calon esok

A
A

KUCHING - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 bermula Isnin dengan proses penamaan calon di 82 pusat penamaan calon (PPC) seluruh negeri bermula jam 9 pagi.

Tidak seperti sebelum ini, PRN ke-12 ini diadakan dalam suasana berbeza susulan pandemik Covid-19 iaitu setakat ini hanya Sarawak dan Kelantan masih berada di Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara, manakala negeri-negeri lain sudah beralih ke Fasa Empat.

Bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hanya calon, pencadang dan penyokong calon atau mana-mana dua orang daripada mereka dibenarkan masuk ke PPC bagi mengemukakan kertas pencalonan calon.

Penyokong parti politik yang diwakili bakal calon tidak dibenarkan masuk, begitu juga sebarang aktiviti berkumpul dan perarakan penyokong calon bertanding tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

Bakal calon pula diberi tempoh sejam untuk mengemukakan borang pencalonan dan bagi memudahkan proses penamaan calon, bakal-bakal calon diseru agar mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang tersebut dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak.

Calon-calon dan parti politik diberi tempoh 12 hari untuk berkempen sebelum tarikh mengundi pada 18 Disember sepertimana ditetapkan SPR.

Undi awal pula ditetapkan pada 14 Disember.

Prosedur operasi standard untuk proses berkempen bagaimanapun sehingga hari ini belum diumumkan.

PRN Sarawak sebelum ini tidak dapat diadakan sebaik tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir 6 Jun lepas berikutan perisytiharan darurat di seluruh negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dari 11 Januari sehingga 1 Ogos bagi mengekang penularan Covid-19.

Apabila darurat di seluruh negara berakhir, Yang di-Pertuan Agong sekali lagi mengisytiharkan darurat di Sarawak bermula 2 Ogos hingga 2 Februari 2022.

Darurat ini ditarik balik pada 3 November yang menyaksikan DUN Sarawak terbubar secara automatik dan memberi laluan kepada PRN ke-12 di Sarawak dilaksanakan SPR.

Sebanyak 82 kerusi DUN dipertandingkan dan setakat semalam, jurucakap SPR memaklumkan 1,268 borang penamaan calon telah terjual.

PRN kali ini akan menyaksikan seramai 1,252,014 pengundi layak mengundi terdiri daripada 1,228,858 pengundi biasa, 12,585 anggota tentera dan pasangan; 10,458 anggota polis serta pasangan dan 113 Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.

Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 1,951 dengan 3,666 tempat mengundi/saluran dan seramai 46,565 individu dilantik bagi mengendalikan PRN Sarawak. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!