Hidu bau busuk dalam kelas

Suasana di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih sibuk sejak pagi ini di mana ada pelajar yang dikejarkan ke HSI bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Suasana di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih sibuk sejak pagi ini di mana ada pelajar yang dikejarkan ke HSI bagi mendapatkan rawatan lanjut.
A
A
A

PASIR GUDANG - "Bau sangat busuk. Lama juga kami terhidu bau ni masa di sekolah," demikian kata Siti Nur Alya Mahira Ahmad Sirajuddin, 15 tahun.

Pelajar Tingkatan 3 SMK Tanjung Puteri Resort mengalami sesak nafas selepas terhidu bau busuk di dalam kelasnya.

"Bukan saya seorang saja, ramai kawan-kawan di kelas pun sama, bau busuk ni sampai kami sesak nafas kira-kira jam 9.40 pagi.

"Saya nampak ada beberapa kawan pun sama sesak nafas lepas itu cikgu panggil keluar," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Dewan Komuniti Taman Pasir Putih di sini, hari ini.

Pelajar Tingkatan 3 ini menerima rawatan di dewan berkenaan sebelum diminta mendapat rawatan lanjut di klinik.

Dalam pada itu, Ibu Alya Mahira, Sharifah Zulaini Syed Abd Rahman, 45 berkata, dia dimaklumkan keadaan anaknya oleh guru, pagi tadi.

"Cikgu minta saya bawa balik Alya Mahira tapi bila saya sampai sekolah Alya dah dibawa menaiki ambulans ke dewan komuniti.

"Lama juga tunggu. Baru anak dapat keluar dan saya diminta bawa anak ke klinik atau hospital untuk dapatkan rawatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sharifah Zulaini bersama anaknya, Alya.
Sharifah Zulaini bersama anaknya, Alya.

ARTIKEL BERKAITAN:

Dua lagi sekolah terjejas pencemaran kimia

Gelombang kedua pencemaran kimia: 106 mangsa jalani rawatan

Sementara itu, Zubaidah Sibok, 45, yang tinggal berdekatan kawasan sekolah mengakui bimbang mendengar bunyi siren ambulans beberapa kali melalui kawasan kediamannya.

"Saya minta suami pergi tengok apa yang berlaku, rupa-rupanya, anak kami, Nurul Maizura Azima Mansor pun dirawat dalam dewan ini.

"Masa dia pergi sekolah pagi tadi, ok saja. Ada juga rasa tak sedap hati... tak sangka jadi macam ini," katanya tidak dapat menahan sebak.

Anak perempuannya yang berusia 13 tahun itu juga mengalami sesak nafas.

Tinjauan Sinar Harian mendapati selain pelajar, orang awam turut menerima rawatan di dewan komuniti ini secara berperingkat.

Ada mangsa yang dibawa ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi menerima rawatan lanjut dan ada juga yang dibenarkan pulang.