Kuatkan UMNO, BN terlebih dahulu sebelum kerjasama pihak lain

Hasni (tengah) diberi penerangan semasa melawat tapak pameran ketika Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Johor Bahru pada Ahad.
Hasni (tengah) diberi penerangan semasa melawat tapak pameran ketika Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memberi tumpuan untuk mengukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, semua masalah yang boleh menggugat kekuatan UMNO dan BN perlu diatasi terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Pengerusi UMNO Johor itu berkata, pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti politik menjelang PRU15.

"Muafakat Nasional (MN) adalah satu persefahaman yang dibuat atas persetujuan kedua-dua pihak di mana satu piagam telah ditandatangani antara UMNO dan Pas.

"Apa yang perlu sekarang ialah kita perkuatkan UMNO dan BN, sama ada MN atau Perikatan Nasional (PN) ada atau tidak ada," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kebun Bandar di Taman Impian Emas di sini pada Ahad.

Pada Ahad, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak pernah memungkiri piagam MN seperti didakwa Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Mohamad berkata, dakwaan itu tidak tepat kerana penubuhan MN bukanlah dengan matlamat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menjadi sebahagian daripadanya.

Sebaliknya, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, penubuhan MN adalah untuk menentang Pakatan Harapan (PH) yang mana Bersatu pada ketika itu adalah sebahagian daripada gabungan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hasni berkata, di Johor ketika ini menyaksikan UMNO, BN, Pas dan Bersatu masing-masing menganjurkan program sendiri, malah tidak lagi bersama-sama dalam satu program.

"Jadi, saya rasa itu satu suasana amat sihat di mana masing-masing menjaga parti sendiri," kata Menteri Besar Johor itu.