X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Bukit Sari bakal saksi saingan lima penjuru?

Para penyokong GPS memulakan kerja-kerja memasang bendera parti tersebut sebagai persiapan sebelum bermulanya kempen Pilihan Raya Negeri Ke-12 Sarawak ketika tinjauan di bandaraya Sibu. Foto Bernama
A
A

LAWAS - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari, di sini dijangka menjadi 'medan pertempuran' sengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Menjelang hari penamaan calon esok, Bukit Sari, yang menjadi kubu kuat Gabungan Parti Sarawak (GPS) menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), diramalkan menyaksikan sekurang-kurangnya pertembungan lima penjuru.

Setakat hari ini, hanya GPS dan Parti Bumi Kenyalang (PBK) secara rasmi mengesahkan calon masing-masing iaitu penyandang kerusi, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (GPS) yang menang tanpa bertanding di Bukit Sari pada PRN ke-11, manakala PBK diwakili pesara tentera Riyah Basrah.

Bagaimanapun, menurut sumber, dua calon itu dijangka berdepan saingan daripada beberapa calon termasuk daripada Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan Bebas.

"Difahamkan, PSB akan hantar calon untuk bersaing dan parti pembangkang dari Semenanjung mungkin letak calon juga pada saat akhir esok serta individu bebas," katanya kepada Bernama.

Pada PRN 2016, Awang Tengah menang tanpa bertanding sementara pada PRN 2011 beliau yang juga Timbalan Presiden PBB menang dengan majoriti 5,063 undi mengalahkan calon PKR, Japar Suyut.

Sebelum ini, berdasarkan senarai calon Pakatan Harapan pada PRN ke-12, PKR dan DAP masing-masing tidak meletakkan calon mereka di Bukit Sari, begitu juga dengan Pas.

Sementara itu, parti lain yang berhasrat bertanding dalam gelanggang pilihan raya negeri kali ini iaitu PSB dan Parti Amanah Negara (Amanah), belum mengumumkan secara rasmi calon mereka setakat hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan esok sebagai hari penamaan calon PRN Sarawak sementara undi awal dijadualkan berlangsung 14 Disember manakala hari mengundi pula pada 18 Disember. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!