Guru maut kena serangan jantung ketika memandu

Kereta pacuan empat roda yang dipandu mangsa ditemui dalam sebuah semak di Kampung Daling, Lipis pada Khamis lalu. -Foto ihsan PDRM
Kereta pacuan empat roda yang dipandu mangsa ditemui dalam sebuah semak di Kampung Daling, Lipis pada Khamis lalu. -Foto ihsan PDRM
A
A
A

LIPIS – Mayat seorang guru ditemui di dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di kawasan semak di Kampung Daling dekat Padang Tengku di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mangsa, Tengku Suhaimi Tengku Yusoff, 54, yang bertugas di sebuah sekolah menengah di Gua Musang, Kelantan disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung.

Menurutnya, mayat ditemukan oleh orang awam tersandar di tempat duduk pemandu kenderaan jenis Ford Ranger di kawasan semak tersebut.

“Ketika pemeriksaan awal pada badan mangsa, tiada kesan kecederaan atau kesan darah serta tidak ada sebarang senjata dijumpai di dalam kereta atau di kawasan berhampiran.

"Berdasarkan laporan bedah siasat semalam (Sabtu) mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ujarnya, kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes terbabit.

Tambahnya, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menghala ke Gua Musang.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat dan telah dituntut oleh keluarganya dan dikebumikan pada Sabtu," ujarnya.

Artikel Berkaitan: