Diperdaya dua 'kakitangan bank', juruteknik rugi RM11,000

Aibee
Aibee
A
A
A

SEREMBAN - Seorang juruteknik mengalami kerugian RM11,000 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud oleh dua lelaki yang menyamar sebagai kakitangan sebuah bank bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abdul Ghani berkata, mangsa berusia 40 tahun pada awalnya melayari internet untuk mencari laman sebuah bank tempatan pada 29 November lalu.

"Sebaik mangsa masuk ke laman berkenaan, dia kemudiannya menekan satu pautan aplikasi Whatsapp 017-3708 518, 013-8252 146 untuk bertanyakan mengenai cara pinjaman wang peribadi bank berkenaan.

"Mangsa telah berurusan dengan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai Jefri dan Maikel. Mereka mendakwa sebagai kakitangan bank tersebut dan akan menguruskan pinjaman yang dibuat mangsa sebanyak RM40,000," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Jelasnya, sindiket itu seterusnya meminta segala butiran peribadi sebelum mangsa menghantarnya melalui Whatsapp, selain itu sindiket berkenaan juga meminta bayaran sebanyak RM2,000 untuk urusan 'scoring'.

"Mangsa kemudian diminta membuat tiga pemindahan berjumlah RM2,000; RM4,000 dan RM3,000 dengan memberikan alasan supaya pinjaman dapat diluluskan dan mangsa membuat transaksi semua pembayaran tersebut pada hari sama ke tiga lagi akaun berbeza," katanya.

Aibee berkata, tidak cukup dengan itu, mangsa diminta untuk membuat pembayaran sebanyak RM3,060 tujuan 'scoring' dan mengaktifkan akaun, namun juruteknik berkenaan tidak melakukannya kerana merasakan perkara itu adalah satu penipuan.

"Bagi mendapatkan kepastian, mangsa ke bank berkenaan di Seremban, namun pihak bank memaklumkan dua lelaki yang menyamar bukan kakitangan mereka dan urusan dibuat adalah satu penipuan sebelum mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: