Lesen jualan bukan punca minyak masak peket kurang di pasaran

Muhamad Zikril (tiga dari kanan) meninjau kios yang terdapat di PJKM Taman Puchong Perdana pada Ahad.
Muhamad Zikril (tiga dari kanan) meninjau kios yang terdapat di PJKM Taman Puchong Perdana pada Ahad.
A
A
A

PUCHONG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menafikan masalah kekurangan bekalan minyak masak peket di Selangor disebabkan sekatan pengeluaran lesen penjualan barang keperluan tersebut.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, kelulusan permohonan lesen itu diterima dari semasa ke semasa.

Sebaliknya beliau menjelaskan, isu bekalan itu disebabkan oleh faktor lain terutamanya masalah pengangkutan mengakibatkan urusan penghantaran menjadi lewat dan mengambil masa antara satu hingga dua hari untuk sampai kepada peruncit.

"Namun, KPDNHEP telah mengarahkan 70 pengilang minyak masak bersubsidi di Selangor supaya dapat menyegerakan (penghantaran) bagi memastikan bekalan mencukupi di premis peruncit.

"Aduan masalah kekurangan bekalan ini diterima dipelbagai tempat antaranya premis peruncit di luar bandar namun di pasar raya besar tiada masalah itu dan bekalan sentiasa ada," katanya mengulas isu kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran.

Beliau ditemui di Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) peringkat Selangor di Taman Puchong Perdana di sini pada Ahad.

Ditanya kemungkinan permasalahan itu dikaitkan isu penyeludupan, beliau menjelaskan, pihak penguatkuasaan sentiasa memantau sekiranya terdapat maklumat isu 'menyorok' atau menyeludup bekalan di kawasan lain.

"Sepatutnya perkara ini tidak berlaku, jika pengguna atau peniaga mendapati ada unsur-unsur tersebut segeralah membuat aduan kepada KPDNHEP supaya tindakan segera boleh diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau menegaskan yang bekalan minyak bersubsidi dihadkan kepada tiga peket bagi setiap transaksi seperti yang ditetapkan oleh kerajaan melalui pengawal bekalan.

"Kita telah mengeluarkan arahan kepada premis peruncit supaya menjual minyak peket bersubsidi satu kilogram tiga paket sahaja untuk satu transaksi.

"Kita tegaskan kepada peniaga supaya mengawal penjualaan tersebut dan dijual dalam kuantiti ditetapkan. Justeru, tidak timbul isu ada yang memborong dalam kuantiti banyak," katanya menjelaskan dakwaan pembelian borong dalam kalangan peniaga makanan.