Jenazah Allahyarham Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
Jenazah Allahyarham Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jenazah bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Tan Sri Sabbaruddin Chik selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara 1, 10.40 pagi Ahad.

Van yang membawa jenazah Allahyarham Sabbaruddin, tiba di tanah perkuburan kira-kira 10.15 pagi dan urusan pengebumian dilaksanakan dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Allahyarham yang akan menyambut ulang tahun ke-80 pada 11 Disember ini, dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Ahad lepas selepas dijangkiti Covid-19 dan menghembuskan nafas terakhir pada 7.45 malam Sabtu.

Pembantu Khasnya, Datuk Zamri Mohamed ketika ditemui selepas proses pengebumian memaklumkan jenazah Allahyarham telah ditayamum dan disolatkan di PPUM pada kira-kira 9.50 pagi ini, sebelum dibawa ke tanah perkuburan untuk disemadikan.

Mengenali Allahyarham selama 25 tahun, Zamri menyifatkan pemergian itu sebagai satu kehilangan besar buat negara memandangkan Sabbaruddin adalah antara individu yang telah melahirkan ramai pemimpin berjaya.

“Banyak yang telah beliau lakukan semasa hayatnya, dengan prinsipnya sebagai seorang yang tegas, berprinsip, menepati masa dan mengotakan apa yang telah dijanjikan. Itu satu perkara yang sukar dicari ganti dari segi kepimpinan beliau dan beliau banyak melahirkan rakan-rakan yang berjaya ketika ini,” katanya.

Allahyarham sebelum ini diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Kewangan dari 1982-1987 dan sebagai Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan dari 1987 hingga 1999, sebelum meletak jawatan atas faktor kesihatan.

Allahyarham memulakan karier politiknya selepas bertanding di Parlimen Temerloh dan memegang kerusi itu dari 1982 hingga 1999 dan menjadi Setiausaha Agung UMNO pada 1996 selama tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

Bagi kehidupan peribadinya, Allahyarham mendirikan rumah tangga bersama Allahyarhamah Puan Sri Faridah Mohamed dan dikurniakan empat cahaya mata. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Sebahagian kehidupan saya 'terhutang' kepada Allahyarham: PM

Sabbaruddin Chik meninggal dunia