Kesilapan individu punca Chelsea kalah

Thomas Tuchel
Thomas Tuchel
A
A
A

PENGURUS Chelsea, Thomas Tuchel mengakui pasukannya terlalu banyak melakukan kesilapan individu yang menyaksikan The Blues tewas 3-2 kepada West Ham hasil jaringan lewat tonggak pertahanan Arthur Masuaku.

Pada perlawanan tersebut, anak buah Tuchel mendahului menerusi Thiago Silva sebelum Manuel Lanzini menyamakan kedudukan selepas menyempurnakan sepakan penalti yang dihadiahkan akibat kekasaran yang dilakukan penjaga gol Chelsea, Edouard Mendy.

Mason Mount berjaya meletakkan Chelsea kembali di hadapan sebelum tamat babak pertama namun Jarrod Bowen kembali mengikat kedudukan buat West Ham tidak lama selepas babak kedua bermula.

"Kami akui terlalu banyak kesilapan yang dilakukan pasukan pada waktu yang penting. Ia menyebabkan kami kehilangan mata ketika berdepan Manchester United selain hari ini.

"Jika pasukan mahukan keputusan yang baik pada tahap ini, mereka perlu kurangkan kesilapan. Kami sudah bercakap mengenainya sebelum ini, namun ia jelas tidak membantu." kata Tuchel.

Dalam pada itu, Tuchel turut menyuarakan kebimbangannya selepas senarai pemain Chelsea yang cedera meningkat susulan perlawanan menentang West Ham yang menyaksikan Chelsea kini berada di kedudukan ketiga di belakang Liverpool dan pendahulu liga, Manchester City.

Menurut jurulatih berbangsa Jerman itu, Kai Havertz mengalami kesakitan yang perit pada penghujung separuh masa pertama manakala bek sayap Marcos Alonso, yang menggantikan Ben Chilwell mengalami sakit belakang sebelum terpaksa dikeluarkan.

Tambah Tuchel lagi, dia tidak tahu bila pemain tengah N'Golo Kante dan Mateo Kovacic akan kembali cergas manakala Jorginho terpaksa bermain meskipun mengalami kecederaan di bahagian pinggul.

Artikel Berkaitan:

"Kami mempunyai pemain yang banyak. Ini bukan alasan kerana mereka akan kekal dengan beban yang berlebihan," ujar Tuchel