Kerajaan kukuh, stabil dibentuk daripada parti dominan

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan yang kukuh hanya dapat dibentuk menerusi parti politik dominan dengan jumlah kerusi paling banyak dan bukan parti dengan kerusi sedikit.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, asas tersebut masih relevan dalam konteks politik masa kini sekali gus menolak kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sistem parti politik dominan tidak lagi sesuai.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, apabila adanya parti politik yang dominan, kerajaan dibentuk dapat fokus dalam membangun negara dan bukan menyelamatkan kuasa.

"Tan Sri Muhyiddin nampaknya semakin keliru semenjak tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan tewasnya PN di Melaka.

"Masakan boleh diterima hujah beliau bahawa sistem parti politik yang dominan itu tidak lagi sesuai masa. Ia berbahaya kata beliau kerana pemusatan kuasa adalah pada individu dan bukannya parti," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mohamed Khaled berkata, ketidakstabilan politik yang Malaysia alami selama 42 bulan lalu kerana tiadanya parti terbesar dan dominan dalam membentuk kerajaan.

Keadaan itu katanya, sehingga berlaku tragedi puluhan ahli Parlimen lompat parti demi 'memperdagangkan' kedudukan mereka bagi membentuk kerajaan.

Katanya lagi, pergerakan politik kepartian di seluruh dunia bertungkus lumus untuk memenangi pilihan raya umum (PRU) dengan kerusi terbanyak.

Artikel Berkaitan:

UMNO katanya, ingin melihat dalam PRU15 jumlah kerusi yang akan Bersatu tandingi kerana pada PRU14, Bersatu menang 13 kerusi sahaja tetapi pemimpin mereka diangkat menjadi Perdana Menteri.

"Insya-ALLAH dalam PRU akan datang, UMNO akan menjadi parti dominan dan mengembalikan demokrasi ala Westminster yang sebenarnya kepada Malaysia," katanya.