Perlu kajian teliti bina jalan di kawasan tanah tinggi

Mohd Sharkar
Mohd Sharkar
A
A
A

TEMERLOH - Satu kajian teliti perlu dilakukan seperti aspek laluan air bagi pembinaan jalan baharu pada masa akan datang di kawasan tanah tinggi di Pahang.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ia berikutan kejadian tanah runtuh tidak banyak berlaku di jalan lama Cameron Highlands dan Bukit Fraser berbanding jalan baharu di kawasan berkenaan.

"Pembinaan pada masa akan datang ini perlu melihat juga laluan air dan sebagainya sebab kalau kita tengok, jalan Cameron Highlands dan Fraser Hill yang lama, tidak banyak berlaku runtuhan.

“Jalan itu sudah lama tapi tak runtuh seteruk seperti yang berlaku di jalan-jalan baharu.

“Contoh macam jalan ke Fraser Hill, jalan itu sudah lama dibina, sejak zaman penjajah lagi, tapi jalan tu tetap elok. Ada runtuh, tapi bukan runtuh yang besar. Jadi kita kena belajar macam mana mereka cari aliran air di jalan tersebut,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Dato’ Sri Sharkar E-Sports Championship League Parlimen Temerloh 2021 di Dewan Tun Razak pada Sabtu.

Mohd Sharkar turut memberitahu, pemantauan perlu dilakukan secara kerap dan berterusan terhadap jalan sedia ada yang telah dibina.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang memberitahu, beliau berhasrat mewujudkan beberapa pasukan dari Parlimen Temerloh dengan menaja mereka menyertai kejohanan luar dalam sukan e-sports.

Artikel Berkaitan:

"Pasukan ini juga nanti berfungsi untuk mempromosikan lagi Temerloh kepada orang luar," tambahnya.

Sebahagian peserta yang berentap dalam pertandingan Dato’ Sri Sharkar E-Sports Championship League Parlimen Temerloh 2021 di Dewan Tun Razak pada Sabtu.
Sebahagian peserta yang berentap dalam pertandingan Dato’ Sri Sharkar E-Sports Championship League Parlimen Temerloh 2021 di Dewan Tun Razak pada Sabtu.

Seramai 54 pasukan dengan 216 peserta berusia 17 hingga 40 tahun menyertai pertandingan yang membabitkan dua peringkat iaitu di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) membabitkan DUN Lanchang, Mentakab dan Kuala Semantan.

Pemenang pada peringkat DUN akan berentap di peringkat Parlimen Temerloh untuk final sebelum dinobatkan sebagai juara.