Warga emas rugi RM60,000 ditipu kekasih maya

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUANTAN - Seorang warga emas terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM60,000 selepas terperdaya dengan janji kekasih maya yang dikenalinya menerusi media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 68 tahun itu mula berkenalan dengan suspek pada 2 Ogos lalu.

Menurutnya, suspek mendakwa bekerja di sebuah pelantar minyak di Australia dan hubungan mereka semakin rapat selepas sering berbalas mesej melalui aplikasi WhatsApp.

"Pada 30 November lalu, suspek telah meminta bantuan wang dengan mendakwa mahu membeli mesin pelantar minyak dan mangsa mempercayai kata-kata suspek.

“Susulan itu, mangsa telah membuat tiga transaksi berjumlah RM60,000 ke dalam akaun yang diberikan suspek," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau menjelaskan, selepas memasukkan wang tersebut, suspek gagal dihubungi dan menyebabkan mangsa merasa dirinya telah ditipu.

“Mangsa kemudian tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan membuat laporan berhubung kejadian itu.

"Kes masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dengan modus operandi ‘love scam’,” katanya.

Artikel Berkaitan: