Malaysian Tigress berputih mata aksi menentang China

Skuad Malaysia tidak dapat beraksi pada 5 dan 6 Disember berikutan isu berkaitan Covid-19. - Foto Astro Arena
Skuad Malaysia tidak dapat beraksi pada 5 dan 6 Disember berikutan isu berkaitan Covid-19. - Foto Astro Arena
A
A
A

SKUAD Hoki Projek Khas Wanita terpaksa berputih mata apabila penganjur tidak membenarkan pasukan itu turun menentang China pada aksi pembukaan Trofi Juara-juara Asia (ACT) 2021 di Donghae, Korea Selatan, pada Ahad.

Ia susulan seorang daripada pemain negara, Nurul Faezah Shafiqah Khalim disahkan positif Covid-19 ujian calitan ketika ketibaan pasukan pada 29 November lepas, yang menyebabkan seluruh pasukan negara dikuarantin sejak 1 Disember.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi kenyataan malam tadi menyatakan walaupun menghormati keputusan pihak penganjur, KHM pada masa sama sedang bekerjasama dengan Persekutuan Hoki Asia (AHF) bagi mendapatkan penyelesaian terbaik supaya skuad ‘The Malaysian Tigress’ dapat beraksi dalam kejohanan itu.

“Nurul Faezah dan keseluruhan pasukan negara (pemain, barisan kejurulatihan dan Pengarah Teknikal Pembangunan dan Skuad Projek Khas KHM) kini berada dalam keadaan sihat walafiat dan tidak menunjukkan sebarang gejala, tanda-tanda atau simptom Covic-19,” menurut KHM.

Sementara itu, AHF menerusi kenyataan berasingan berkata, skuad Malaysia tidak dapat beraksi pada 5 dan 6 Disember berikutan isu berkaitan Covid-19.

“AHF kesal dengan keadaan malang yang telah timbul, sebahagian besarnya disebabkan oleh perubahan ketara dan terkini dalam protokol Covid-19 tempatan dan Korea Selatan, berdasarkan bilangan kes baharu yang tinggi dalam negara dan wilayah serta kemunculan varian baharu Omicron.

“AHF dan Persatuan Hoki Korea Selatan melakukan yang terbaik untuk membolehkan pasukan wanita Malaysia kembali menyertai kejohanan itu. Ia adalah keutamaan kami untuk membenarkan atlet dan petugas pasukan yang telah berlatih, bersiap sedia dan mengembara untuk menyertai acara besar ini,” menurut AHF.

Selepas aksi menentang China, Malaysia dijadual berdepan India pada Isnin, Jepun (8 Disember), tuan rumah Korea Selatan (9 Disember) dan Thailand (11 Disember) pada kejohanan enam penjuru itu.

Pencapaian terbaik skuad negara adalah kedudukan pingat gangsa pada edisi 2013, manakala dalam edisi lepas pada 2018, skuad ‘The Malaysian Tigress’ itu meraih tempat keempat. - Bernama

Artikel Berkaitan: