Harga betul-betul murah

Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro (kanan) dan Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek (tengah) diiringi Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Cawangan Selatan Mas Imran Adam (kiri) ketika menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Raya Econsave, Taman Daya.
Pengarah KPDNHEP Negeri Johor, Mohd Hairul Anuar Bohro (kanan) dan Ketua Penguatkuasa KPDNHEP Johor, Mohd Hanizam Kechek (tengah) diiringi Pengurus Besar Econsave Cash & Carry Cawangan Selatan Mas Imran Adam (kiri) ketika menghadiri Program Jualan Keluarga Malaysia di Pasar Raya Econsave, Taman Daya.
A
A
A

SHAH ALAM - Program Jualan Keluarga Malaysia di semua 222 kawasan Parlimen seluruh negara secara serentak bermula Sabtu menepati matlamat kerajaan untuk meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang ketika ini.

Di Lubok Jong, dalam kawasan Parlimen Rantau Panjang Kelantan misalnya, tawaran harga murah sehingga 20 peratus memberikan senyuman kepada lebih 1,000 penduduk di kawasan itu.

Seorang penoreh getah, Mat Isa Muhammad, 59, berkata, dia menggunakan peluang tersebut untuk membeli beberapa ekor ayam, telur serta barangan lain untuk dijadikan stok sepanjang musim tengkujuh ini.

“Harga ayam paling murah pernah saya dapat hari ini iaitu RM7.90 sekilogram berbanding sebelum ini mencecah RM11 sekilogram.

“Terima kasih kerajaan kerana menganjurkan program seumpama ini dan harap ia dapat diadakan secara berterusan di masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan swasta, Nik Aqilah Nik Mustapa, 38, berkata, banyak penjimatan yang dibuat dengan adanya program ini.

“Hari ini saya dapat beli ikan, ayam, telur, minyak masak, tepung dan macam- macam lagi dengan harga murah.

“Gembira sangat, sebab duit yang lebih dapat digunakan untuk urusan lain kerana sekarang seperti yang kita tahu semua barang naik harga,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, sepatutnya program tersebut dilanjutkan sehingga malam kerana waktu dari jam 8 pagi hingga 1 petang sangat singkat.

Bagi kakitangan kerajaan, Zamri Yusoff, 42, berkata, program tersebut memberi peluang kepada golongan B40 dan M40 untuk mendapatkan barangan harian dengan harga yang lebih murah.

“Ramai yang terkesan dengan Covid-19 dan peningkatan harga barangan di pasaran. Sebagai pengguna kami perlu bijak berbelanja, dan peluang ini harus digunakan sebaiknya,” katanya.

Ujar Zamri, dia dan isteri datang seawal jam 8 pagi untuk membeli-belah bimbang orang ramai dan barang habis.

Stok mencukupiDi pekarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak pula, barangan keperluan harian terjual lebih 75 peratus dalam tempoh empat jam.

Jualan yang bermula pada jam 9 pagi itu menawarkan barangan seperti gula, minyak masak, ayam, ikan, telur, tepung gandum dan sayur-sayuran pada harga murah sehingga 20 peratus.

Peniaga, Ahmad Izzat Abu Hassan berkata, dia menjual 500 ekor ayam segar pada harga RM8 berbanding RM9.40 sekilogram (kg) di pasaran.

“Sambutan yang diterima amat baik apabila sehingga jam 12 tengah hari tinggal 150 ekor sahaja.

“Kami akan terus mengikuti program ini supaya dapat bantu golongan memerlukan,” katanya.

Peniaga ikan, Muazzam Mohamad pula menyediakan 500kg ikan mackerel, sardin putih, mambong dan cencaru pada harga RM10 sekilogram.

“Sambutan pengunjung cukup baik apabila jualan mambong dan mackerel hampir habis dijual.

“Walaupun harga ikan di pasaran meningkat, kami dapat menjual dengan harga terkawal kerana mempunyai stok yang mencukupi,” katanya.

Jualan Keluarga Malaysia di Lubok Jong, Rantau Panjang, Kelantan pada Sabtu berlangsung dengan pematuhan SOP ditetapkan.
Jualan Keluarga Malaysia di Lubok Jong, Rantau Panjang, Kelantan pada Sabtu berlangsung dengan pematuhan SOP ditetapkan.

Sementara itu, pelanggan, Norazizan Mohamad Spian, 48, mengakui barangan yang dijual pada program itu lebih murah berbanding di pasaran dan mudah didapati tanpa had.

“Kami baca berita mengenai jualan ini dan memang datang untuk melihat harga. Harganya betul-betul murah seperti yang diuar-uarkan.

“Hari ini saya beli gula dan minyak masak kerana kedua-dua barangan ini sukar didapati di kedai dan pasar raya berhampiran rumah. Kadang-kadang ada yang sudah habis,” katanya.

Bagi Hasnah Mohd Ali, 59, dari Taman Berjaya Permai, Kuantan, Pahang, inisiatif kerajaan tepat pada masanya ketika rata-rata pengguna terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan seharian.

Katanya, harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding harga biasa dan amat membantu dalam mengurangkan beban ditanggung rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

Pandangan itu disokong seorang lagi pengguna, Amran Mohd Yasin, 62, dari Peramu yang berpendapat inisiatif kerajaan itu amat baik dalam membantu meringankan beban perbelanjaan ditanggung rakyat dalam keadaan harga barangan naik ketika ini.

“Cumanya ia perlu diuar-uarkan lebih awal supaya orang ramai tahu. Pada masa sama, program ini perlu diadakan secara berterusan bukan pada hari-hari tertentu sahaja,” katanya.

Nordiana Ismail, 30, yang tinggal di Taman Gaya, Johor berharap program itu dapat diperluas dan diadakan seminggu sekali atau sekurang-kurangnya sebulan dua kali.

Dia yang bekerja sebagai juruaudit dan sedang mengandung anak pertama berkata, ia bagi memastikan golongan B40 dapat berbelanja dengan harga berpatutan.

Bagi Aziah Alias, 55, dari Taman JP Perdana pula mengakui jualan itu banyak membantu kerana kenaikan harga berlaku sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Rohaidah Abdul Rahim, 55, pula berkata, program itu berjaya membantunya membuat penjimatan perbelanjaan untuk keluarganya yang sebelum ini menghabiskan kira-kira RM500 sebulan untuk membeli barangan keperluan harian.

“Barangan seperti ayam, ikan dan sayur-sayuran memang dijual pada harga yang lebih murah berbanding tempat lain,” katanya.

Dalam pada itu, peniaga, Rosnaini Mohd Yusofe, 50, berkata, harga sayur dijual dalam program itu lebih rendah berbanding pasaran.

Beliau memberi contoh sawi dijual RM7 satu kilogram (kg) berbanding RM10 di pasaran biasa, selain kangkung dan bayam dijual RM6 satu kg berbanding RM8 satu kg di pasaran biasa.

Pengurus Besar Pasaraya Econsave cawangan Selatan, Mas Imran Adam berkata, pihaknya dapat menawarkan harga murah kerana semua bekalan terutama sayur diambil terus daripada pengusaha kebun atau ladang sayur.

“Harga barangan yang dijual di sini sekitar 15 hingga 20 peratus lebih rendah berbanding pada waktu biasa. Contoh harga ayam dijual RM7.99 sekilogram sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, jualan kali ini mendapat kerjasama daripada agensi-agensi berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Antara sebab mengapa barangan di sini dijual pada harga lebih murah adalah kerana agensi yang terlibat dalam jualan ini mengambil bekalan terus dari ladang atau pembekal, dan ia memberi satu kelebihan kepada kami.

“Kita jangkakan ada pembekal lain yang akan terlibat dalam program ini pada masa akan datang, jadi mana-mana pihak yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi kami,” katanya ketika ditemui di Program Jualan Keluarga Malaysia di Dataran 5C, Taman Putra Perdana, Selangor.

Dalam pada itu, sebanyak 80 jenis barangan ditawarkan kepada pengguna melalui program sama yang diadakan di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan Pahang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, antara barangan yang ditawarkan termasuk barangan basah dan barang keperluan dapur.

Menurutnya, bagi program jualan akan datang, ia akan diadakan mengikut kesesuaian lokasi dan permintaan setempat.

Menurut Pengurus Operasi Rangkaian Pasaraya TMG, Muhammad Hidir Ravi Abdullah, pihaknya mengambil bahagian dalam program berkenaan bagi menyahut seruan kerajaan dan sebagai tanggungjawab dalam membantu pengguna terutama golongan B40.

Menurutnya, pihak TMG cuba sedaya upaya untuk kurangkan harga bagi barangan keperluan terpilih dengan harga ditawarkan menghampiri harga kos.

Program Jualan Keluarga Malaysia diadakan di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula Sabtu sebagai antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Program itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

Program yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus disasar diadakan dua kali setiap bulan memfokuskan kepada kawasan yang mempunyai ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40.