X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

ABK21: Arif Aiman pemain paling bernilai

Arif Aiman melakar sejarah muncul pemain paling muda meraih anugerah MVP ABK21. - Foto Fb Johor Southern Tigers
A
A

BINTANG muda Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanap dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2021 (ABK21) yang diadakan secara virtual sebentar tadi.

Lebih istimewa, pemain berusia 19 tahun itu melakar sejarah menjadi pemain paling muda merangkul anugerah utama itu selepas rakan sepasukannya, Safawi Rasid melakukannya pada 2018 ketika berusia 21 tahun.

Arif Aiman yang menjadi antara watak penting JDT menjulang trofi kelapan Liga Super musim ini dan Piala Sumbangsih selain membantu skuad Harimau Selatan mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia turut mengungguli Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Mengulas kejayaannya itu, Arif Aiman berkata, semuanya itu tidak akan dicapai tanpa sokongan pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta rakan-rakan sepasukan.

“Alhamdulillah saya dinobatkan sebagai pemenang MVP pada tahun ini dan anugerah ini kali pertama saya menang dalam karier sebagai pemain bola sepak profesional.

“Terima kasih saya ucapkan kepada TMJ kerana sentiasa menjadi tulang belakang dan juga kepada jurulatih Benjamin Mora dan barisan kejurulatihan yang lain kerana sentiasa memberi sokongan dan percaya kepada saya untuk bermain banyak perlawanan pada tahun ini.

“Terima kasih juga kepada rakan sepasukan dan pemain-pemain senior lain yang sentiasa bantu saya ketika saya mula-mula masuk ke dalam pasukan JDT dan tidak dilupa juga kepada semua penyokong saya,” katanya yang kini bersama skuad Harimau Malaya bagi mengharungi kempen Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Bagi kategori Anugerah Penyerang Terbaik, Arif Aiman menafikan cabaran dua lagi calon akhir - Darren Lok (PJ City FC) dan Faisal Abdul Halim (Terengganu FC) manakala bagi kategori Anugerah Pemain Muda Terbaik pula, dia mengatasi dua calon dari Selangor FC - Ahmad Danial Ahmad Asri dan Mukhairi Ajmal Mahadi.

Bagaimanapun, Arif Aiman tidak keseorangan membawa pulang trofi ABK21 ke kem JDT apabila Matthew Davies meraih gelaran Pertahanan Terbaik buat kali kedua selepas 2017 apabila menewaskan Quentin Cheng (Penang FC) dan Daniel Ting (Kuala Lumpur City FC).

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias pula mengatasi pencalonan pemain PJ City FC, Kalamullah Al-Hafiz dan Khairul Fahmi Che Mat (Melaka United FC) untuk merekod gelaran Penjaga Gol Terbaik buat kali keenam selepas 2009, 2015, 2018, 2019 dan 2020.

Selain kejayaan penyerang dari Brazil, Bergson da Silva meraih Kasut Emas menerusi ledakan 30 gol dalam semua pertandingan musim ini, JDT turut gah dengan gelaran Pasukan Terbaik.

Kuala Lumpur City FC yang mencipta kejutan menjuarai Piala Malaysia sempena ulang tahun ke-100 turut cemerlang di pentas ABK21 apabila Bojan Hodak menerima Anugerah Jurulatih Terbaik mengatasi Benjamin Mora (JDT) dan Nafuzi Zain (Terengganu FC).

“Terima kasih kepada semua penyokong, kelab, pihak pengurusan dan juga kepada CEO (Stanley Bernard) kami. Juga terima kasih kepada semua pemain kerana tanpa anda kita tidak akan menang apa-apa perlawanan.

“Terima kasih juga kepada semua staf yang bekerja dengan saya setiap hari, mencurahkan idea bersama dan sentiasa bersabar dengan saya. Terima kasih juga kepada isteri dan anak saya,” jelas Bojan.

Turut mengiringi kejayaan jurulatih kelahiran Croatia itu adalah penjaring terbanyak Piala Malaysia musim dengan 10 gol, Romel Morales apabila diiktiraf sebagai Pemain Import Terbaik biarpun dicabar hebat Bergson dan Ifedayo Omosuyi (Selangor FC).

Kapten Kedah Darul Aman FC, Baddrol Bakhtiar yang mengumumkan perpindahan ke Sabah FC musim depan meraih kejayaan berganda apabila membawa pulang trofi Pemain Tengah Terbaik dan Penjaring Terbanyak (Tempatan) Liga Super (tujuh gol).

Bagi kategori Pemain Tengah Terbaik, Baddrol mengetepikan cabaran dua pemain JDT - Afiq Fazail dan Natxo Insa.

“Terima kasih kepada MFL kerana memberikan anugerah Pemain Tengah Terbaik ini dan saya bersyukur kerana saya memang sasarkan untuk anugerah ini. Paling penting saya nak hadiahkan trofi ini kepada isteri, anak dan keluarga tercinta saya.

“Tak lupa juga kepada semua penyokong yang sentiasa memberikan sokongan, tanpa anda siapalah saya, jadi hadiah ini untuk anda semua,” katanya.

Sementara itu, Skuad Projek FAM-MSN yang membuat penampilan pertama dalam saingan Liga Premier musim ini diumumkan sebagai pemenang Anugerah Fair Play.

Turut diumumkan kejayaan Ifedayo yang muncul Penjaring Terbanyak Liga Super dengan 26 gol manakala Fernando Rodriguez (JDT II) dan Jordan Mintah (Terengganu FC II) yang menghasilkan 16 gol dinobatkan Penjaring Terbanyak Liga Premier.

Penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani pula meraih gelaran Penjaring Terbanyak (Tempatan) Liga Premier dengan rekod sembilan gol.

Seramai 403 daripada 843 pemain telah disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK21 yang mengundi 10 pemain terbaik mereka dalam setiap kategori.

Para pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing. 23 ketua jurulatih, 23 ketua pasukan Liga Super dan Liga Premier dan 23 wakil media telah mengundi 10 pemain bagi setiap kategori itu pada 19 November dan berakhir 21 November 2021.

Penyokong-penyokong pula berpeluang mengundi FAN XI dan berikut adalah keputusan undian FAN XI:

JURULATIH: Nafuzi Zain (Terengganu FC)

PENJAGA GOL: Kevin Ray Mendoza (Kuala Lumpur City FC)

PERTAHANAN KANAN: Rizal Ghazali (Kedah Darul Aman FC)

PERTAHANAN TENGAH: Renan Alves (Kedah Darul Aman FC)

PERTAHANAN TENGAH: Arif Fadzilah Abu Bakar (Terengganu FC)

PERTAHANAN KIRI: La'Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim)

TENGAH: Zhafri Yahya (Kuala Lumpur City FC)

TENGAH: Baddrol Bakhtiar (Kedah Darul Aman FC)

TENGAH: Leandro Velazquez (Johor Darul Ta’zim)

SAYAP KANAN: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim)

PENYERANG: Bergson da Silva (Johor Darul Ta’zim)

SAYAP KIRI: Gonzalo Cabrera (Johor Darul Ta’zim)


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!