CPOPC perlu tangani propaganda anti minyak sawit

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

STRATEGI yang direka untuk menyangkal mitos mengenai minyak sawit mesti memanfaatkan kemajuan teknologi hari ini termasuk platform siber kerana berita beredar dengan pantas, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Sehubungan itu, organisasi seperti Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) perlu memberi lebih penekanan kepada maklumat yang mudah difahami sebagai naratif untuk mengubah persepsi, katanya.

“Propaganda terhadap minyak sawit telah memberi kesan lebih serius dan ia adalah sesuatu yang CPOPC perlu tangani dengan cara yang lebih berkesan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Menteri-Menteri CPOPC ke-9, di sini.

Mesyuarat yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia, Airlangga Hartarto itu turut dihadiri secara maya oleh pegawai-pegawai dari Colombia, Papua New Guinea, Honduras dan Ghana dalam kapasiti mereka sebagai negara pemerhati.

Pada pertemuan itu, Zuraida menyatakan kebimbangannya berhubung sentimen kempen anti-minyak sawit yang telah dijalankan dari semasa ke semasa oleh pelbagai pihak.

"Ia adalah fakta sahih bahawa kelapa sawit adalah tanaman lebih baik berbanding tanaman lain yang mengeluarkan minyak," katanya.

Airlangga menyuarakan sentimen itu apabila beliau melihat trend dasar diskriminasi yang semakin meningkat terhadap minyak sawit yang memudaratkan pembangunan sektor minyak sawit.

“CPOPC mesti mengekalkan peranan pentingnya dalam menyokong dan menjaga kepentingan kolektif anggotanya dalam sektor minyak sawit. Indonesia menjangka nilai eksport minyak sawitnya melonjak 155 peratus tahun ke tahun kepada AS$29 bilion pada tahun 2021.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Zuraida menggesa CPOPC berperanan menggalakkan penglibatan dalam pembangunan industri minyak sawit yang mampan di peringkat global untuk terus membantu jutaan pekebun kecil kelapa sawit dan pihak berkepentingan di seluruh dunia.

“Kami mahu mereka komited sepenuhnya terhadap kemampanan dan Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu selaras dengan tuntutan global,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida mengucapkan tahniah kepada CPOPC kerana berjaya menyempurnakan pindaan piagamnya. Piagam itu ditandatangani oleh kedua-dua menteri tersebut hari ini.

Piagam baharu itu akan memudahkan kemasukan anggota baharu dan negara pemerhati ke dalam CPOPC tidak lama lagi.

Zuraida tiba di sini semalam dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke Indonesia. Beliau mengadakan sesi temu bual dengan media tempatan dan dijadualkan mengadakan pertemuan termasuk dengan penyelidik di IPB University (sebelum ini dikenali sebagai Institut Pertanian Bogor) di Bogor, Jawa Barat.

Beliau juga akan melawat Taman Botani Bogor, taman botani tertua dan paling penting di Indonesia, terletak 60 kilometer di selatan Jakarta. - Bernama