1,022 sekolah daif di Sarawak akan dinaik taraf

Ismail Sabri mendengar sesuatu yang diperkatakan Abang Johari (dua dari kiri) ketika tiba pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri mendengar sesuatu yang diperkatakan Abang Johari (dua dari kiri) ketika tiba pada Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Kerajaan telah mengenal pasti sebanyak 1,022 sekolah daif di seluruh Sarawak untuk dinaik taraf dan dibaik pulih.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan pimpinannya tidak akan berkompromi dalam hal pendidikan terutamanya bagi memberi keselesaan kepada pelajar.

“Apabila saya mendengar taklimat pembangunan Sarawak, saya dimaklumkan tentang rumah guru dan sekolah daif di Sarawak. Saya panggil Menteri Kewangan minta pastikan isu itu diselesaikan segera.

“Kita (kerajaan) akan sediakan peruntukan besar untuk pastikan sekolah daif itu dapat kita naik taraf, dibaik pulih atau dibina baharu... di seluruh Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di sini malam ini.

Sementara itu, mengenai pembangunan di Sarawak, Ismail Sabri berkata, kerajaan Persekutuan pimpinannya akan sentiasa memberi tumpuan kepada negeri ini.

Sebagai contoh, katanya, program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang melibatkan Sabah dan Sarawak akan memastikan semua kawasan luar bandar mendapat capaian internet tanpa gangguan.

“Kita tidak mahu seperti berlaku di Sabah sebelum ini di mana ada yang terpaksa panjat pokok untuk dapat internet. Jadi kita bagi peruntukan besar supaya capaian 5G dapat dicapai di Sabah dan Sarawak,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: