X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 19 Januari 2022

Kes Covid-19 di sekolah: Kerajaan perlu ambil langkah lebih konkrit

Ahmad Zahid
A
A

SHAH ALAM- Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar langkah yang lebih konkrit dapat diambil kerajaan untuk membendung penularan kes Covid-19 di sekolah menengah berasrama di Bagan Datuk.

Menurutnya, pelajar lain, para guru dan kakitangan sekolah tersebut wajar dibantu menjalani ujian Covid-19 untuk memastikan keselamatan mereka meskipun pelajar yang positif telah diasingkan dan dikuarantin di asrama masing-masing.

Tambah beliau yang merupakan Presiden UMNO, kesemua kontak rapat perlu juga dikenal pasti secepat mungkin bagi memastikan tiada individu lain dijangkiti wabak berkenaan.

“Saya telah dimaklumkan sebuah sekolah menengah berasrama di Bagan Datuk turut berlaku kes positif Covid-19.

“Seramai 12 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 dan kesemua mereka merupakan kes bagi kluster baharu iaitu kluster Batu 20 Selekoh.

“Perkara itu amat mendukacitakan dan saya berharap pelajar terbabit berada dalam keadaan selamat serta diberi rawatan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Pada Sabtu, sebuah sekolah menengah berasrama di Bagan Datuk dilaporkan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan pelajar.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Kesihatan Perak, sehingga Jumaat, seramai 12 pelajar sekolah berkenaan disahkan positif Covid-19 dan kesemua mereka merupakan kes bagi kluster baharu iaitu Kluster Batu 20 Selekoh.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang mengesahkan perkara itu berkata, sehingga kini terdapat dua sekolah berasrama di negeri ini yang berlaku jangkitan Covid-19 membabitkan pelajar.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sekolah berkenaan wajar ditutup sementara sekiranya perlu bagi tujuan sanitasi dan memastikan tiada lagi yang positif Covid-19.

Menurutnya, punca jangkitan perlu dikenal pasti supaya pihak sekolah dapat melaksanakan mekanisme yang lebih berkesan untuk mengelak kejadian berulang.

“Sekali lagi saya mendoakan agar pelajar terlibat serta seluruh warga sekolah berkenaan dalam keadaan selamat dan sentiasa dalam lindungan ALLAH,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!