Banjir: 33 orang di Rantau Panjang dipindahkan ke PPS

Sekumpulan lelaki menaiki traktor untuk meredah air akibat banjir semasa tinjauan di Kampung Lubuk Panjang, Mukim Chalok pada 3 Disember. - Foto Bernama
Sekumpulan lelaki menaiki traktor untuk meredah air akibat banjir semasa tinjauan di Kampung Lubuk Panjang, Mukim Chalok pada 3 Disember. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Seramai 33 orang daripada enam keluarga di Rantau Panjang dekat Pasir Mas dipindahkan ke satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada tengah hari Sabtu selepas rumah mereka dilanda banjir susulan hujan lebat berterusan di daerah itu sejak tiga hari lepas.

Menurut info bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mereka termasuk seorang warga emas dan 12 kanak-kanak dipindahkan ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Deh.

Menurut portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, setakat jam 4 petang, Sungai Golok di Rantau Panjang dan Sungai Rantau Panjang merekodkan paras amaran dengan bacaan masing-masing adalah 8.59 meter.

Sementara itu, di TERENGGANU, situasi banjir di negeri itu semakin pulih dengan jumlah mangsa turun mendadak kepada 34 orang daripada tujuh keluarga setakat 4 petang berbanding 130 mangsa daripada 54 keluarga pada pagi Sabtu.

Banjir di daerah Setiu dan Besut pulih sepenuhnya apabila kesemua lima PPS di dua daerah itu ditutup secara berperingkat mulai pagi Sabtu.

Menurut kenyataan dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, PPS terakhir ditutup di daerah Setiu ialah di SK Kampung Besut pada 2 petang.

Ketika ini, hanya satu daerah masih terjejas banjir iaitu Kuala Nerus. Terdapat dua PPS yang beroperasi dengan jumlah mangsa kekal tidak berubah iaitu 28 orang (enam keluarga) di SK Kompleks Mengabang Telipot dan enam sekeluarga di Surau Mak Jintan.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, secara amnya, keadaan cuaca dijangka bertambah baik bermula pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

"Ramalan terkini menunjukkan tiada episod hujan lebat berterusan dijangka untuk beberapa hari yang akan datang. Walaupun begitu, hujan pada sebelah pagi terutama di kawasan pantai masih boleh berlaku.

"Episod hujan lebat berterusan seterusnya dijangka bermula pada 9 Disember depan, namun sepanjang tempoh itu kami akan tetap meneruskan pemantauan di kawasan berisiko banjir," katanya kepada pemberita selepas meninjau situasi banjir di sekitar Setiu pada Sabtu.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan 12.56 meter (m) melebihi paras amaran 12m. Di daerah Hulu Terengganu pula, Empangan Tembat mencatatkan 430.49m berbanding paras amaran 430m. - Bernama