'Jangan bila waktu pilihan raya baru nak buat keputusan'

Mohd Sharkar (tengah) merasmikan pertandingan Datuk Seri Mohd Sharkar E-Sports Championship League yang disertai 54 pasukan di Dewan Tun Razak, Temerloh pada Sabtu.
Mohd Sharkar (tengah) merasmikan pertandingan Datuk Seri Mohd Sharkar E-Sports Championship League yang disertai 54 pasukan di Dewan Tun Razak, Temerloh pada Sabtu.
A
A
A

TEMERLOH - Pas perlu membuat keputusan dalam menentukan pendirian parti itu khususnya melibatkan hubungan kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, ini kerana Pas yang mengaku menyokong MN sebaliknya telah mengambil keputusan menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November lalu,

Bagi pihak UMNO katanya, kerjasama tersebut masih lagi berlangsung apatah lagi MN dibentuk melalui persetujuan kedua-dua organisasi parti tersebut.

"Ia bermula dari peringkat bawah hingga ke peringkat atas untuk capai persetujuan, sekarang ini kerjasama itu pada kami masih ada lagi.

"Sekarang ini terserah kepada Pas sebab mereka beritahu sokong Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) tapi di Melaka tidak sokong kita, sebaliknya lawan kita.

"Jangan bila waktu pilihan raya baru nak buat keputusan untuk sokong mana-mana parti," katanya lagi yang juga Ketua UMNO Bahagian Temerloh.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pertandingan Datuk Seri Mohd Sharkar E-Sports Championship League di Dewan Tun Razak di sini pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO serah kepada 191 bahagian tentukan masa depan MN

Artikel Berkaitan:

PRN Melaka: Pas pilih logo PN jika Bersatu, UMNO bertembung

Pada Khamis, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu, tiada kata akhir diputuskan parti terhadap Muafakat Nasional selepas Pas memilih untuk bekerjasama dengan PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ujar Ahmad lagi, ia kerana UMNO masih lagi berpegang pada janji iaitu keputusan pada perhimpunan agung tahun lepas yang mahu Muafakat Nasional diperkuatkan dan selagi belum ada Perhimpunan Agung UMNO, kerjasama itu tidak boleh diubah.

Status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional akan ditentukan oleh 191 bahagian parti itu yang mula bersidang pada 18 Disember ini.