Pampasan rendah, penduduk mohon campur tangan kerajaan

Affendi (dua dari kanan) mendengar permasalahan dibangkitkan penduduk Kampung Sungai Baru pada Sabtu.
Affendi (dua dari kanan) mendengar permasalahan dibangkitkan penduduk Kampung Sungai Baru pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kira-kira 20 penduduk Kampung Sungai Baru, Kampong Bharu di sini berkumpul bagi memohon kerajaan campur tangan berhubung isu pampasan pengosongan unit mereka yang didakwa rendah.

Seorang penduduk, Zalaha Yusof, 63 berkata, pampasan kurang RM250,000 menyukarkan dia bersama empat beradik lain berusia 45 hingga 68 tahun untuk mendapatkan rumah baharu di bandar.

Menurutnya, pengosongan unit untuk projek pembangunan semula kawasan itu dianggap membebankan kerana usia mereka selain tidak bekerja untuk memulakan hidup baharu.

"Kami tinggal di sini sejak kawasan ini masih setinggan dan dibangunkan. Kami kemudian ditawar sewa beli hingga bebas hutang. Tidak mudah dapat duduk di rumah flat ini tetapi sekarang diarah pindah.

"Bagaimana kami mahu mendapatkan rumah di Kuala Lumpur dengan pampasan kurang RM250,000? Di pinggir bandar mungkin dapat tetapi susah untuk berulang-alik ke hospital," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

ZALAHA
ZALAHA

Pembangunan semula yang dirancang itu melibatkan kawasan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman, iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Sebanyak 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan itu dan telah menurunkan tandatangan.

Artikel Berkaitan:

Pada Ogos lalu, beberapa penduduk yang belum menurunkan tandatangan telah menerima notis siasatan di bawah Borang F, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang diminta hadir secara giliran pada 23 hingga 26 Ogos untuk diambil keterangan penilaian oleh Pejabat Tanah dan Galian.

Difahamkan, penduduk rumah Flat PKNS itu mendapat keputusan nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000.

Seorang penduduk rumah teres, Saiful Azhar Ibrahim, 49, meluahkan kebimbangan kerana bakal mengalami nasib sama seperti penduduk rumah flat di kawasan itu yang diberikan nilai pampasan rendah.

"Selepas ini giliran kami pula dipanggil untuk mendengar keputusan nilai pampasan di bawah Akta 8. Kami bimbang kemungkinan kediaman dinilai rendah seperti penduduk rumah flat.

SAIFUL AZHAR
SAIFUL AZHAR

"Kebanyakan penduduk rumah teres telah mengubah suai rumah kepada dua ke tiga unit. Jika ditawarkan di bawah RM500,000 ke mana kami nak pergi?

"Kami tidak hidup mewah tetapi sudah senang tinggal di sini sebab dapat banyak kemudahan dan rumah bergeran," katanya.

Pengerusi Persatuan Komuniti Kampung Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berharap rintihan penduduk di mendapat perhatian pihak berwajib.

Beliau mendakwa, 30 peratus penduduk menolak tawaran pemaju lima tahun kerana perjanjian didakwa berat sebelah.

SYED SALEHUDDIN
SYED SALEHUDDIN

"Pemaju datang lima tahun lepas untuk menawarkan pindah ke tempat lain tetapi perjanjian mereka berat sebelah dan tiada hitam putih. Kalau mereka bankrap, kami tidak boleh buat apa-apa.

"Kami minta Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun dan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim datang membantu, " katanya.

Sementara itu, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), Datuk Affendi Zahari berkata, pihaknya berharap isu itu diselesaikan dan menguntungkan kedua-dua pihak selain membantu penduduk mendapatkan pampasan yang terbaik.

"Semua peraturan pengambilan tanah dan keputusan mengikut peraturan dan dilakukan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dan tidak melibatkan orang luar.

"Jika saya sebagai penerima, saya akan rasa (pampasan) itu tidak mencukupi. Saya bagi pihak PKB tidak teragak-agak bersama Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) berjumpa dengan pemaju serta wakil penduduk untuk mencari pendekatan 'win-win' antara kedua belah pihak," katanya.

Tambah beliau, setakat ini sebanyak tiga kali pertemuan bersama pemaju dan pejabat tanah telah dibuat membincangkan isu pembangunan tersebut.