X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

Sektor pembuatan perlukan 600,000 pekerja asing

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Sektor pembuatan memerlukan tambahan kira-kira 600,000 tenaga kerja asing pada 2022 bagi memastikan hasil perniagaan mereka mencapai paras yang sama seperti sebelum pandemik, kata Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM).

Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, terdapat beberapa pelaburan baharu yang masih memerlukan tenaga kerja berkemahiran rendah bagi proses tertentu dalam operasi mereka.

“Majikan dalam sektor pembuatan terus berdepan kesukaran untuk mendapatkan tenaga kerja tempatan bagi mengisi kekurangan dalam kategori pekerja am tidak mahir ekoran pembekuan pengambilan baharu pekerja asing dan industri pula tidak ada pilihan terpaksa bergantung kepada pekerja asing kerana orang tempatan tidak berminat dalam pekerjaan dan industri tertentu terutamanya dalam sektor 3D (Bahaya, Kotor dan Susah).

“Langkah jangka pendek ini kritikal kepada kelangsungan hidup perniagaan dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Thian Lai berkata, industri bagaimanapun menyedari hakikat bahawa dalam tempoh jangka panjang usaha padu perlu diambil untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing termasuk perubahan dasar struktur yang sebaliknya boleh memberi impak kepada daya saing Malaysia ketika negara menuju ke arah negara berpendapatan tinggi, menumpukan kepada teknologi tinggi dan produk dan perkhidmatan tokokan nilai tinggi.

Sektor itu memberi sumbangan besar sebanyak 23 peratus kepada ekonomi Malaysia.

Bagi suku keempat 2020, sektor pembuatan merupakan satu-satunya sektor ekonomi yang mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3 peratus dan prestasi ini berterusan sehingga suku pertama 2021 dengan pertumbuhan kukuh yang mana pembuatan mendahului semua sektor ekonomi lain dengan pertumbuhan 6.6 peratus.

Ia meneruskan prestasi positif itu pada suku kedua 2021 dengan pertumbuhan 26.6 peratus sebelum merekodkan penurunan kecil pada suku ketiga 2021.

Sektor itu memberi sumbangan besar kepada eksport iaitu 86 peratus daripada jumlah eksport pada 2020 dengan nilai RM847.66 bilion.

Produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang bahagian terbesar daripada jumlah eksport Malaysia pada 2020 sebanyak 39.4 peratus atau RM386.11 bilion. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!