Malaysia-China akan bekerjasama dalam R&D, pengeluaran vaksin

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah
A
A
A

ZHEJIANG - Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Peringkat Tinggi (JPT) Malaysia-China mengenai kerjasama pasca era Covid-19 yang diadakan di sini pada Sabtu, menyaksikan kedua-dua pihak sepakat untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta pengeluaran vaksin.

Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Luar China yang juga Ahli Dewan Negara, Wang Yi.

Saifuddin berkata, kerjasama itu dapat memenuhi aspirasi Malaysia untuk menghasilkan vaksin sendiri seperti terkandung dalam Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

“Malaysia mengalu-alukan syarikat vaksin terkemuka dari China untuk menubuhkan kilang pengeluaran mereka di Malaysia yang akan merangkumi kilang pembuatan, penyelidikan data dan pusat R&D,” katanya ketika sidang akhbar bersama Wang Yi selepas mesyuarat itu.

Saifuddin turut mengumumkan China akan menyumbang sebanyak dua juta lagi dos vaksin Sinovac kepada Malaysia, selain satu juta dos yang diumumkan pada September 2021.

Mengenai hubungan Malaysia-China, beliau berkata, perbincangan pada Sabtu juga memberi ruang untuk mendapat maklumat dan mengenal pasti kaedah baharu bagi memperluas lagi hubungan kedua-dua negara.

Beliau berkata, Beijing sudah menerima permintaan Putrajaya untuk Perdana Menteri melawat China pada tahun depan.

“Kami sentiasa meletak China di senarai teratas. Kebiasaannya sebagai satu daripada negara terawal yang akan dilawati pemimpin kami selepas mengunjungi negara anggota ASEAN,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua pihak turut membincangkan pelbagai aspek kerjasama ekonomi termasuk perdagangan dan pelaburan, Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), kerjasama taman perindustrian, projek mega dan produk pertanian.

Malaysia turut mengalu-alukan kesediaan China untuk berunding mengenai penyediaan lebih banyak peluang untuk produk pertanian berkualiti Malaysia masuk ke pasaran China.

Beliau turut menekankan mengenai memorandum persefahaman (MoU) Kerjasama Telekomunikasi Digital dan Perjanjian Penerbitan Filem Bersama yang rumusannya kini di peringkat akhir.

“Kami teruja dengan potensi pertumbuhan kerjasama ekonomi digital antara kedua-dua negara. Mengenai pelaburan ekonomi digital, ia sesuatu yang kami nantikan untuk adakan kerjasama lebih erat dengan kerajaan China atau syarikat dari China,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia mahu menarik lebih banyak pelaburan dalam bidang ini melalui Pejabat Pelaburan Digital (DIO) di bawah Unit Perancang Ekonomi.

Saifuddin turut menyentuh mengenai perkembangan memperbaharui perjanjian kerjasama angkasa dan penggunaan angkasa lepas secara aman antara Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dan China National Space Administration (CNSA) – yang ditandatangani pada 30 November 2021.

Beliau berkata, rundingan MoU Kerjasama Perubatan Tradisional juga telah dimuktamadkan manakala Surat Hasrat mengenai Kerjasama Bola Keranjang China-Malaysia sedia ditandatangani.

Mengenai budaya dan pertukaran antara rakyat, Saifuddin berkata, kedua-dua negara juga bersetuju untuk meneruskan perbincangan mengenai meningkatkan pengajaran bahasa Melayu di China, satu inisiatif yang dapat mengeratkan lagi persefahaman rakyat kedua-dua negara.

“Buat masa ini terdapat 15 universiti yang mengajar bahasa Melayu dan pengajian Melayu dan kami akan cuba membantu dengan menghantar buku, tenaga pengajar dan sebagainya,” tambahnya.

Mesyuarat JPT diadakan secara hibrid, dengan wakil agensi berkaitan dari kedua-dua pihak mengambil bahagian dari Putrajaya dan Beijing melalui pautan video.

Saifuddin dalam rangka lawatan rasmi dua hari ke China mulai Jumaat, atas undangan Wang Yi. - Bernama