Enam daerah pedalaman Sarawak terima bekalan elektrik

Mahdzir ketika mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Langgong, Daerah Kanowit, Sarawak.
Mahdzir ketika mengadakan lawatan ke Rumah Panjang Langgong, Daerah Kanowit, Sarawak.
A
A
A

SHAH ALAM - Enam daerah di kawasan pedalaman Sarawak menerima bekalan elektrik dengan nilai keseluruhan lebih RM193 juta menerusi Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daerah berkenaan ialah Sarikei, Sibu, Kapit, Mukah, Bintulu dan Miri.

Menurut beliau, projek bekalan elektrik itu bermula pada April 2018 melibatkan kerja-kerja pembinaan infrastruktur.

“Projek itu juga merupakan penambahan kepada sistem grid sedia ada milik Syarikat Sesco Berhad (SEB) bagi talian voltan 33 kilovolt (KV) dan ke bawah, meliputi penyambungan ke rumah penduduk, rumah ibadat, dewan, sekolah dan fasiliti kerajaan serta balai raya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Jelas Mahdzir, sebanyak 22 pakej terlibat dalam projek BELB iaitu enam pakej di Bintulu, lima di Mukah, empat di Miri, tiga di Sibu dan masing-masing dua di Sarikei dan Kapit.

Tambahnya, pakej-pakej itu telah dikenalpasti oleh pihak Kementerian Utiliti Sarawak (KUS), melibatkan sejumlah 1,855 buah rumah dengan anggaran 9,275 orang penerima manfaat.

Menurut beliau, bagi pakej projek yang melibatkan Rh Langgong, ia mempunyai 13 rumah panjang, satu sekolah dan 59 buah rumah individu yang dimulakan pada September 2018 menyebabkan penduduk menerima bekalan elektrik pada Februari 2020.

Jelasnya, ia melibatkan jumlah keseluruhan 242 buah rumah dan 1,210 orang penerima manfaat, dengan kos pembinaan lebih RM10.6 juta.

Artikel Berkaitan:

Menurut Mahdzir, bagi tahun 2022, KPLB ingin melaksanakan lima lagi projek BELB Sistem Solar Hibrid di Sarawak iaitu dua projek di kawasan Telang Usan dan masing-masing satu projek di kawasan Marudi, Katibas, dan Long Busang dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM350 juta.

Jelasnya, projek itu melibatkan 1,500 buah rumah dan 7,500 orang penerima manfaat, dalam usaha kerajaan untuk memastikan setiap penduduk luar bandar dapat menikmati bekalan elektrik 24 jam sehari.

"Skop projek BELB Talian Grid tidak melibatkan pemasangan meter dan pendawaian dalam rumah (IHW). Bagaimanapun, Sarawak Energy Berhad (SEB) ada menyediakan Assisted Wiring Scheme (AWS) untuk membantu pemohon luar bandar menyiapkan pendawaian dalaman rumah.

“Bagi permohonan mendapatkan bekalan elektrik untuk rumah-rumah yang baru dibina, permohonan perlu dikemukakan kepada Kementerian Utiliti Sarawak (KUS) untuk semakan dan penilaian lanjut Kementerian tersebut, sebelum senarai penuh dikemukakan kepada KPLB untuk tindakan," jelas Mahdzir.