Pernas giat usaha bantu usahawan

Zakaria (tengah) bersama Mohd Izhar (dua dari kanan) ketika menyampaikan dana pembiayaan Skim Lisensor kepada Syarikat Leezo Group Sdn Bhd di sini pada Sabtu.
Zakaria (tengah) bersama Mohd Izhar (dua dari kanan) ketika menyampaikan dana pembiayaan Skim Lisensor kepada Syarikat Leezo Group Sdn Bhd di sini pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mahu terus menjadi entiti terbaik dalam usaha memperkasa usahawan di negara ini menerusi pelbagai pelan perancangan dan skim pembiayaan.

Pengerusinya, Datuk Zakaria Mohd Edris berkata, sebanyak RM7.7 juta diluluskan menerusi penganjuran siri jelajah BizFrancais di beberapa negeri pada tahun 2019.

Beliau memberitahu, program berkenaan bertujuan membantu golongan usahawan mencuba perkara baharu selain pendedahan dalam bidang perniagaan francais berpotensi untuk berkembang.

"Program ini merupakan inisiatif Pernas bagi pembentukan usahawan yang komprehensif dengan membantu mereka bagi mencari peluang menceburi bidang perniagaan khususnya perniagaan francais.

"Ia meliputi sesi perkongsian ilmu daripada usahawan francais, taklimat dari agensi kerajaan seperti Pernas, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian BizFrancais Johor 2021 yang turut disempurnakan oleh Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia, Datuk Mohd Izhar Ahmad di Holiday Villa di sini pada Sabtu.

Zakaria memberitahu, Pernas turut menyasarkan potensi pembiayaan sebanyak RM4.23 juta menerusi Program BizFrancais Johor bagi pembangunan usahawan di negeri Johor.

Katanya, sehingga kini Pernas membiayai sebanyak RM15.16 juta membabitkan 150 usahawan Johor sejak 2011.

Artikel Berkaitan:

"Pada program ini, ia berjaya menarik minat lebih 29 pempamer dan 176 peserta bagi mendapatkan ilmu keusahawanan terutama dalam bidang francais dan bantuan yang ditawarkan oleh Pernas.

"Turut diadakan klinik perniagaan bersama jenama francais, prafrancais dan jenama di bawah program Business In Transformation (BIT). Jumlah pembiayaan program BIT di Johor ialah RM 150,620 dalam tempoh sembilan tahun," katanya.

Dalam program itu, lapan usahawan menerima replika cek iaitu iaitu HAQ Beta Sdn Bhd, Leezo Group Sdn Bhd, Faszam Sdn Bhd, Nuris Legacy, Green Point Departmental Store Sdn Bhd, Rollie Café, San Ude Enterprise dan Nasnur Academy Sdn Bhd dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM2.5 juta.

Terdapat 23 jenama yang turut menyertai program hari ini antaranya Marrybrown, Mok Corner, Gloria Jean’s Coffees, MyeongDong Topokki, Kakatoo, V-AgroMart dan LaundryBar.

Tidak terkecuali jenama tempatan yang lahir dari Program BIT Pernas seperti Eyda Ice-Cream, Rollie Cafe dan Kitchen Saver.