80 jenis barangan ditawarkan melalui Jualan #Keluarga Malaysia

Mark (dua dari kanan) diiringi Muhammad Hidir Ravi meninjau aktiviti jualan Program Jualan #Keluarga Malaysia di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan pada Sabtu.
Mark (dua dari kanan) diiringi Muhammad Hidir Ravi meninjau aktiviti jualan Program Jualan #Keluarga Malaysia di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 80 jenis barangan ditawarkan kepada pengguna melalui Program Jualan #Keluarga Malaysia di Pahang yang diadakan di TMG Mall Tanjung Lumpur, di sini bermula pada Sabtu.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Datuk Mark Ujin berkata, antara barangan yang ditawarkan termasuk barangan basah dan barang keperluan dapur.

Menurutnya, melalui Program Jualan #Keluarga Malaysia itu, harga ditawarkan bagi barangan terpilih antara 15 hingga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran setempat.

"Kita jangkakan barangan seperti ayam, ikan, minyak dan tepung akan menjadi pilihan pengguna melalui program jualan selama dua hari ini.

"Kali ini kita mendapat kerjasama daripada pihak TMG Mall dan ia akan diperluaskan pada masa akan datang melalui kerjasama dengan pasar raya lain di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir meninjau aktiviti jualan itu di pasar raya berkenaan pada Sabtu.

Mark berkata, bagi program jualan akan datang, ia akan diadakan mengikut kesesuaian lokasi dan permintaan setempat.

Sementara itu, Pengurus Operasi Rangkaian Pasaraya TMG, Muhammad Hidir Ravi Abdullah berkata, pihaknya tampil mengambil bahagian dalam Program Jualan #Keluarga Malaysia bagi menyahut seruan kerajaan dan sebagai tanggungjawab dalam membantu pengguna terutama bagi golongan B40.

Artikel Berkaitan:

Hasnah (kiri) mendengar penjelasan Muhammad Hidir Ravi berhubung Program Jualan #Keluarga Malaysia di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan pada Sabtu.
Hasnah (kiri) mendengar penjelasan Muhammad Hidir Ravi berhubung Program Jualan #Keluarga Malaysia di TMG Mall Tanjung Lumpur, Kuantan pada Sabtu.

Menurutnya, pihak TMG cuba sedaya upa untuk kurangkan harga bagi barangan keperluan terpilih dengan harga ditawarkan menghampiri harga kos.

"Itu yang kita boleh bantu bagi meringankan beban pengguna melalui program jualan ini.

"Kita menyediakan bekalan yang mencukupi untuk dua hari ini dan berdasarkan kepada sambutan, nampaknya amat baik dan bilangan pelanggan juga meningkat pagi ini," katanya.

Bagi pelanggan, Hasnah Mohd Ali, 59, dari Taman Berjaya Permai, di sini, inisiatif kerajaan mengadakan Program Jualan #Keluarga Malaysia tepat pada masanya ketika rata-rata pengguna kini terbeban dengan kenaikan harga barang keperluan seharian.

Katanya, harga yang ditawarkan lebih rendah berbanding harga biasa dan amat membantu dalam mengurangkan beban ditanggung rakyat terutama bagi golongan berpendapatan rendah.

"Sebenarnya saya tidak tahu pun ada program jualan ini. Bila datang baru tahu jadi saya ambil peluang dapatkan barang keperluan yang ditawarkan dengan harga lebih murah, dapat jimat sikit," katanya.

Pandangan itu disokong seorang lagi pengguna, Amran Mohd Yasin, 62, dari Peramu, di sini.

Menurutnya, inisiatif kerajaan itu amat baik dalam membantu meringankan beban perbelanjaan ditanggung rakyat dalam keadaan harga barangan naik ketika ini.

"Cumanya ia perlu diuar-uarkan lebih awal supaya orang ramai tahu.

"Pada masa sama, program ini perlu diadakan secara berterusan bukan pada hari-hari tertentu sahaja," katanya.

Program Jualan #Keluarga Malaysia diadakan di semua 222 kawasan Parlimen secara serentak bermula Sabtu sebagai antara usaha meringankan beban rakyat susulan kenaikan harga barang.

Program itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis lalu.

Program yang menawarkan barangan keperluan harian pada harga murah antara 20 dan 50 peratus disasar diadakan dua kali setiap bulan memfokuskan kepada kawasan ramai penduduk daripada golongan B40 dan M40.