Sambutan Jualan #Keluarga Malaysia menggalakkan

Yunus menunjukkan harga jualan ayam segar yang murah ketika melawat gerai di program Jualan #Keluarga Malaysia peringkat Perak di RTC Gopeng.
Yunus menunjukkan harga jualan ayam segar yang murah ketika melawat gerai di program Jualan #Keluarga Malaysia peringkat Perak di RTC Gopeng.
A
A
A

GOPENG - Program Jualan #Keluarga Malaysia peringkat Perak mendapat sambutan menggalakkan apabila barangan keperluan harian terjual lebih 75 peratus dalam tempoh empat jam pada Sabtu.

Jualan yang bermula pada jam 9 pagi itu menawarkan barangan seperti gula, minyak masak, ayam, ikan, telur, tepung gandum dan sayur-sayuran pada harga murah sehingga 20 peratus.

Peniaga, Ahmad Izzat Abu Hassan berkata, dia menjual 500 ekor ayam segar pada harga RM8 berbanding RM9.40 sekilogram (kg) di pasaran.

"Sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila sehingga jam 12 tengah hari tinggal 150 ekor sahaja.

"Kami akan terus mengikut program ini supaya dapat membantu golongan yang memerlukan dengan menawarkan harga dan kualiti yang baik," katanya ketika ditemui di perkarangan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng di sini pada Sabtu.

Peniaga ikan, Muazzam Mohamad pula menyediakan 500kg ikan jenis saba mackerel, sardin putih, mambong dan cencaru pada harga RM10 sekilogram.

"Sambutan pengunjung amat menggalakkan apabila jualan mambong dan saba mackerel hampir habis dijual. Sekarang hanya tinggal kira-kira 200kg sahaja lagi.

"Walaupun harga ikan di pasaran meningkat, kami dapat menjual dengan harga terkawal kerana mempunyai stok yang mencukupi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelanggan, Norazizan Mohamad Spian, 48, mengakui barangan yang dijual pada program itu lebih murah berbanding di pasaran serta mudah didapati tanpa had.

Peniaga turut menjual telur dengan harga RM11 sepapan kepada pengunjung Jualan #Keluarga Malaysia peringkat Perak di RTC Gopeng.
Peniaga turut menjual telur dengan harga RM11 sepapan kepada pengunjung Jualan #Keluarga Malaysia peringkat Perak di RTC Gopeng.

"Kami baca berita mengenai jualan ini dan memang datang untuk melihat harga. Harganya betul-betul murah seperti yang diuar-uarkan.

"Hari ini saya beli gula dan minyak masak kerana kedua barangan ini sukar didapati di kedai dan pasar raya berhampiran rumah. Kadang-kadang ada yang sudah habis," katanya.

Sementara itu, Exco Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Abdul Yunus Jamhari berkata, program tersebut meringankan beban golongan yang berpendapatan rendah untuk mendapatkan barangan keperluan harian berdasarkan sambutan yang menggalakkan.

"Pengguna ada pilihan untuk mendapatkan barangan yang lebih murah menerusi program ini dan kita akan cuba menyediakan pelbagai barangan dari masa ke masa.

"Kita sedang menyusun program sama dan diperluaskan di kawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan mudah dikunjungi di setiap daerah," katanya.

Program sehari itu merupakan usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perak dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Perak.

Hadir sama, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria.