Samseng jalanan dicekup selepas jamu selera

Polis menahan tujuh penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan pada awal pagi Sabtu.
Polis menahan tujuh penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan pada awal pagi Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lagak 'membunuh diri' tujuh samseng jalanan selepas pulang makan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan mengundang padah apabila diberkas polis pada awal pagi Sabtu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, Operasi Khas Samseng Jalanan Unit Risikan Operasi JSPT Bukit Aman itu berjaya menahan kesemua penunggang terbabit bermula kira-kira jam 12.20 tengah malam.

Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan tiga pelajar sekolah berusia lingkungan 16 dan 17 tahun selepas dikesan melakukan aksi superman, tunduk badan, zig-zag dan bersaing sesama sendiri di Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas).

"Operasi seterusnya berjaya menahan dua penunggang motosikal kira-kira jam 1.10 pagi selepas aksi berbahaya dilakukan mereka di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban.

"Dua lagi penunggang pula ditahan kira-kira jam 2 pagi kerana melakukan aksi superman, bersaing sesama sendiri dan zig-zag di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata, soal siasat mendapati kesemua penunggang terbabit adalah daripada tiga kumpulan berbeza.

Katanya, dipercayai kesemua geng ini baru pulang dari makan di restoran popular di sekitar Seremban dan Paroi.

"Polis telah bertindak menyita semua motosikal terbabit jenis Yamaha 135LC, Lagenda 115Z Fi, Modenas Dinamik 120, Honda Wave 125 dan Yamaha Y15ZR untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kesemua mereka yang berusia lingkungan 16 hingga 26 tahun itu dibawa ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Serdang dan Kajang untuk siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.