X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Selaras bantuan agar tiada sekolah tercicir

Mohd Radzi (tengah) bergambar bersama sebahagian pelajar yang menerima sumbangan tablet pada program ‘Aeon Sayap Bagimu’ di Institut Pendidikan Guru (IPG) Darul Aman, pada Sabtu.
A
A

ALOR SETAR - Bantuan kepada sekolah di seluruh negara akan diselaraskan bawah Yayasan Didik Negara (YDN) agar tiada sekolah tercicir daripada menerima sumbangan yang disalurkan oleh pelbagai pihak.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, ia bagi mengelak hanya sekolah tertentu disalurkan sumbangan, sebaliknya pemberian harus lebih menyeluruh terutama kepada sekolah di kawasan luar bandar.

Menurutnya, bagi memastikan agihan sama rata diberikan kepada sekolah yang memerlukan bantuan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan YDN pada 5 Julai lalu.

“Yayasan ini bertindak sebagai badan yang menyelaras semua sumbangan yang diterima daripada pihak korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat bagi memastikan sumbangan itu dapat dioptimumkan oleh pelajar di setiap negeri.

“Melalui pendekatan ini, sumbangan kepada sekolah yang memerlukan akan lebih sistematik. Bukan hanya sekolah tertentu menerima sumbangan, ia lebih menyeluruh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan pendidikan digital ‘Aeon Sayap Bagimu’ di Institut Pendidikan Guru (IPG) Darul Aman pada Sabtu.

Mohd Radzi berkata, sebelum ini penyumbang lebih cenderung untuk memilih sendiri sekolah terlibat menerusi Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) masing-masing.

“Sekarang dengan adanya yayasan ini, kita selaraskan dan ada rekod sekolah mana yang sudah terima sumbangan atau belum. Dapatlah kita agihkan sama rata ke semua sekolah yang keseluruhannya lebih 10,000 buah,” katanya.

Menurutnya, YDN sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berhasrat bergabung tenaga untuk membantu sektor pendidikan negara.

Pada fasa kedua program ‘Aeon Sayap Bagimu’, lebih 2,000 unit peranti digital berserta kad sim unifi mobile bernilai RM1 juta akan diagihkan ke 28 buah sekolah di 10 negeri, antaranya Kedah sebanyak 345 unit, Perlis (205 unit) serta Pulau Pinang (211).

Pada agihan fasa satu yang menyasarkan pelajar Tingkatan Lima, sumbangan kali ini diagihkan kepada pelajar Tingkatan Tiga, untuk memberi peluang kepada mereka bersedia lebih awal berdepan sesi pembelajaran dan peperiksaan.

Mengulas mengenai pencapaian 100 hari KPM, Mohd Radzi menyasarkan empat komponen utama untuk penilaian.

“Antara aspirasi adalah untuk selesaikan perkara tunjang, iaitu memastikan pembukaan semula sekolah dilaksanakan dengan selamat, selepas kembali secara bersemuka kecuali di Kelantan dan Sarawak.

“Kita juga akan beri tumpuan kepada menaik taraf infrastruktur pendidikan seperti bangunan sekolah yang daif untuk pastikan pelajar lebih kondusif untuk belajar,” katanya.

Tambah beliau, aspek lain termasuk menyediakan dewan terbuka di sekolah agar kemudahan itu dapat dipelbagaikan bukan hanya untuk aktiviti ko-kurikulum, tetapi untuk kegunaan lain seperti pandemik.

“Kebajikan guru turut diberi keutamaan, antaranya isu pengambilan guru lebih 18,000 yang sedang dilaksanakan selain mencari kaedah paling optimum untuk selesaikan kes pertukaran guru,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!