Abang Jo pindah kawasan bukti fokus di kawasan luar bandar: Fadillah

Fadillah - Foto fail Bernama
Fadillah - Foto fail Bernama
A
A
A

KUCHING - Keputusan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk beralih angin bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 menunjukkan beliau bukan hanya memberi fokus kepada pembangunan kawasan bandar, tetapi juga di luar bandar.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, keputusan itu menidakkan anggapan beberapa pihak bahawa Ketua Menteri itu hanya memberi tumpuan kepada Bandar Raya Kuching semata-mata.

"Pertukaran kerusi ini bergantung kepada situasi yang memerlukan. Ada penyandang yang berhenti atau memberi peluang kepada orang lain untuk bertanding.

"Macam Ketua Menteri (Abang Johari) nak mewakili Gedong, dengan beliau mewakili kawasan separa bandar dan luar bandar itu, ini menunjukkan fokus terhadap luar bandar itu akan diberikan banyak tumpuan. Itu mungkin mesej yang mahu disampaikan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Sepakat@Komuniti Keluarga Malaysia di sini pada Sabtu.

Pada Jumaat, Abang Johari yang juga Presiden PBB dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengesahkan akan bertanding di Gedong dalam PRN ini, 'berpindah' daripada kerusi Satok yang terletak berhampiran Bandar Raya Kuching dan disandangnya sejak sembilan penggal lepas.

DUN Satok yang dipegang Abang Johari sejak tahun 1981 akan ditandingi Timbalan Ketua Cawangan PBB Satok Datuk Ibrahim Baki pada PRN12.

Fadillah menyuarakan keyakinan terhadap kredilibiti Ibrahim yang telah lama berkhidmat kepada rakyat.

"Beliau memang sudah beri perkhidmatan lama dah. Orang dah kenal dan dia banyak berada di lapangan dan insya-ALLAH beliau diberi sokongan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fadillah berkata, kesemua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kali ini menampilkan gabungan yang baik antara orang 'lama' dan orang muda.

Sementara itu, Fadillah menyambut baik keputusan Barisan Nasional (BN) untuk tidak membenarkan penggunaan bendera dan logo Dacing Barisan Nasional (BN) dalam kempen GPS bagi PRN Sarawak.

Katanya, keputusan itu menunjukkan BN menyedari keupayaan GPS untuk memimpin negeri itu.

"Itu semangat setiakawan, jadi kita sambut baik, walaupun kita bukan lagi bersama BN dari segi gabungan parti. Mungkin mereka menyedari GPS boleh memimpin Sarawak sebab itu mereka menyokong GPS untuk terus menerajui Sarawak," katanya.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dalam satu sidang akhbar sebelum ini memaklumkan keputusan itu, seterusnya menjadikan BN secara rasmi tidak menyertai PRN Sarawak buat pertama kali.

SPR menetapkan hari penamaan calon pada 6 Disember ini, pengundian awal pada 14 Disember, manakala 18 Disember pula hari pengundian PRN Sarawak. - Bernama