X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 28 Januari 2022

Cadangan daftar GRS akan dibincang dalam masa terdekat

Hajiji bertemu Ronald dan Maximus ketika sesi taklimat sesi taklimat mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MKMA63) di Kota Kinabalu, pada Sabtu.
A
A

KOTA KINABALU - Mesyuarat untuk membincangkan cadangan untuk mendaftarkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai parti politik rasmi akan dilakukan dalam masa terdekat.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu akan dibincangkan dengan pemimpin-pemimpin parti dalam komponen GRS.

"Kita mesti berbincang dengan mereka. Kalau itu baik untuk politik Sabah dan GRS, saya percaya mereka akan setuju dan kita akan buat keputusannya nanti.

"Saya tidak boleh cakap begitu (jika ada yang menolak) kerana kita belum duduk berbincang dengan mereka. Kita bincang dulu bagus-bagus, dalam politik ini baru kita dapat keputusannya.

"Insya-ALLAH dalam masa terdekat ini kita akan panggil satu mesyuarat dengan parti-parti gabungan dalam GRS kita akan bincang banyak perkara mengenai isu-isu ditimbulkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi taklimat mengenai Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MKMA63) di Mini Auditorium Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung cadangan untuk mendaftarkan GRS sebagai parti politik rasmi.

Mengulas isu kelonggaran syarat imigresen memasuki Sabah dari Labuan, Hajiji berkata, perkara itu akan dikaji secara menyeluruh.

"Amalan ini dari dulu sehingga sekarang begitulah. Apabila mereka sampai dari Semenanjung akan diperiksa oleh Imigresen di Labuan dan dari Labuan mereka datang ke Sabah, ada sedikit persoalan kenapa tidak diperiksa di sini (Sabah).

"Jadi perkara ini kita akan lihat secara menyeluruh. Rasional yang berlaku kerana selama ini amalan itu seperti begitu. Tetapi ada permintaan daripada rakyat kita supaya mereka yang datang ke Sabah juga diperiksa atau melalui Imigresen di Sabah," katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, perkara itu akan dikaji sama ada jika ia perlu dilaksanakan atau sebaliknya selepas mendapat laporan daripada pihak Imigresen.

Sementara itu, mengulas mengenai sesi taklimat itu, banyak perkara yang perlu diperjelaskan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dapat mengetahui secara rasional mengenai tindakan atau usaha kerajaan dalam meminda perlembagaan yang dibentangkan.

Hadir sama dalam sesi taklimat itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Dr Ronald Kiandee.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!