Parti dalam PN diingat tidak singgung ‘hati’ parti lain

Dominic Lau Hoe Chai berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia ke-50 pada Sabtu. - Foto Bernama
Dominic Lau Hoe Chai berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia ke-50 pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Di sebalik memperjuangkan hak sendiri, parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) diingatkan agar tidak menyinggung ‘hati’ parti lain.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, pihaknya mengambil contoh pengumuman Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang tidak mahu memperbaharui lesen premis perjudian nombor 4D di negeri terbabit.

“Semasa kita terima pengumuman itu ada banyak pandangan, pendapat yang berbeza, ada yang setuju, ada yang tidak setuju.

“Tetapi kebanyakan bukan Melayu tidak setuju. Saya mesej kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pengerusi PN) saya katakan kita tidak setuju tetapi kita menghormati keputusan Menteri Besar Kedah.

“Mengapa? Kerana beliau dipilih oleh rakyat dan mengikut perlembagaan beliau ada kuasa untuk membuat keputusan ini,” katanya semasa berucap pada Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Ke-50, di sini pada Sabtu.

Tambahnya, di dunia ini juga tidak ada satu agama yang bersetuju untuk membuat perjudian sebagai program yang besar.

Menurutnya, pandangan atau pendapat yang berlainan seharusnya diselesaikan dalam mesyuarat gabungan itu.

“Saya setuju bahawa ada pandangan dan pendapat yang berlainan itu kita boleh selesai dalam satu mesyuarat,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyifatkan bahawa PN merupakan satu gabungan parti yang berbilang kaum, budaya dan agama.

“Ini adalah karakter atau ciri-ciri Malaysia yang kita ada berbilang kaum, agama dan budaya di negara kita. Ini saya menganggap satu kekuatan.

“Tetapi untuk kekalkan kekuatan itu bukan senang. Ada perbezaan pandangan, ada perbezaan pendapat dari segi agama, kaum dan budaya,” katanya.