X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Expo 2020 Dubai: Malaysia jana lebih RM33.9 bilion

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menjana potensi pulangan perdagangan dan pelaburan bernilai lebih RM33.9 bilion menerusi sejumlah 43 Memorandum Persefahaman, Memorandum Kerjasama dan Surat Niat serta 602 petunjuk perniagaan dengan beberapa syarikat antarabangsa dalam tempoh lapan minggu pertama penyertaan di Expo 2020 Dubai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian ini disumbang menerusi usaha sama rentas kementerian melibatkan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bersama agensi di bawah kementerian terbabit serta syarikat swasta.

“Dengan perkembangan positif ini, kerajaan yakin penyertaan Malaysia dalam Expo 2020 Dubai akan menghasilkan impak yang lebih luas lagi.

“Ia juga membuktikan bahawa syarikat dan teknologi Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa dan berjaya menarik pelaburan serta minat daripada pelbagai rakan strategik. Momentum ini dijangka berterusan untuk tempoh 18 minggu akan datang dengan usaha gigih pelbagai kementerian, agensi dan kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ismail Sabri berkata, bagi memastikan pencapaian dan sinergi yang lebih padu, penyertaan rentas kementerian-kementerian tersebut telah diselaraskan menerusi sub-tema Pavilion Malaysia iaitu pengkomersialan teknologi tempatan, membangunkan ekosistem pemula niaga yang mampan, inovasi teknologi hijau, daya tahan iklim dan infrastruktur lestari, bandar pintar dan rendah karbon, kewangan mampan serta industri halal dan pembuatan mampan.

Pavilion Malaysia di Expo 2020 Dubai yang direka bentuk dengan konsep kanopi hutan hujan tropika bertemakan 'Energising Sustainability' (Menjana Kemampanan) telah merekodkan kunjungan lebih 330,000 pelawat sehingga 3 Disember 2021.

Katanya, Malaysia juga telah berjaya melepasi sasaran asal iaitu RM10 bilion bagi potensi pulangan perdagangan dan pelaburan dalam penyertaan Malaysia di Expo 2020 Dubai.

Lawatan peringkat tertinggi ke Pavilion Malaysia termasuklah menerima tetamu kehormat dari Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu, India, Kemboja, Kuwait, Republik Guinea, Rusia, United Kingdom, serta Dewan Perniagaan Sharjah.

Expo Dubai 2020 bermula 1 Oktober hingga 31 Mac 2022. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!