'Sudah ada petanda positif PN semakin diterima rakyat'

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin sudah terdapat petanda-petanda positif menunjukkan gabungan parti itu semakin diterima oleh rakyat Malaysia.

Beliau berkata, ia mengambil contoh dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung sebelum ini.

“Dalam PRN Sabah, PN mendapat sambutan amat baik daripada rakyat Sabah.

Kita memenangi jumlah kerusi terbesar dalam kalangan parti-parti yang membentuk Gabungan Rakyat Sabah.

“Dalam PRN Melaka yang baru berlangsung, walaupun PN hanya memenangi dua kerusi, kita menyaksikan peralihan sokongan ketara kepada PN terutama dalam kalangan pengundi muda.

“Saya optimis PN akan menjadi gabungan politik pilihan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Ke-50 di sini pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, PN menawarkan pentadbiran prihatin rakyat dan berintegriti yang diyakini selari dengan nilai dan aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

“Kita telah membuktikan bahawa PN mampu mentadbir negara dengan baik, mengamalkan dasar prihatin rakyat serta mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang sepanjang mentadbir negara sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

“Rekod ini akan kita pertahankan dan persembahkan kepada rakyat untuk mereka membuat penilaian,” ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu menegaskan, dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan ketika ini, tidak ada mana-mana parti boleh mendakwa mereka parti dominan yang boleh melakukan apa sahaja mengikut selera masing-masing tanpa mengambil kira pandangan parti lain yang membentuk kerajaan.

“Sebagai sebuah parti yang mendokong prinsip integriti, PN telah meletakkan asas yang jelas dalam pembentukan kerajaan Persekutuan mahupun negeri.

“Kita telah meletakkan syarat yang tegas bahawa sokongan PN kepada kerajaan pada hari ini adalah tertakluk kepada kepatuhan kerajaan terhadap prinsip dan nilai integriti,” katanya.

Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu, ini termasuk syarat untuk terus menentang rasuah dan salah guna kuasa serta tidak sesekali mencampuri urusan mahkamah.

“Institusi mahkamah termasuk agensi pendakwaan mestilah dipastikan bebas untuk menegakkan keadilan tanpa diganggu-gugat oleh sesiapa semata-mata untuk melindungi kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Tegas beliau, kerajaan juga tidak boleh tunduk kepada tekanan kumpulan kleptokrat demi kepentingan diri mereka sendiri.

“PN mempunyai tanggungjawab moral untuk memberikan sokongan kepada kerajaan selagi mana prinsip ini dipatuhi,” jelasnya.

Tambah beliau, perkara itu adalah prinsip paling penting yang mesti dipegang serta kehadiran mereka dalam kerajaan bukanlah untuk kepentingan kuasa dan jawatan.

“Kita di sini untuk berkhidmat demi rakyat dengan penuh integriti. Jika prinsip ini tidak dipatuhi dan akibatnya golongan kleptokrat kembali berkuasa, kita akan gagal dalam tugas melindungi kepentingan rakyat dan negara.

“Jika ini berlaku, kita mesti memutuskan perkara yang paling mulia untuk dilakukan. Ini termasuk mengembalikan mandat kepada rakyat apabila tiba masanya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, penyertaan parti Gerakan dalam PN ialah satu pilihan yang tepat.

“Selaku Pengerusi PN, saya amat mengalu-alukan sumbangan Gerakan dalam melengkapkan PN sebagai sebuah gabungan parti politik mewakili semua kaum di Malaysia.

“Tugas Gerakan yang selanjutnya ialah untuk bersama-sama memperkukuhkan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang kuat dan disokong oleh majoriti rakyat.

“Hanya dengan sokongan majoriti rakyat, PN akan dapat membentuk sebuah kerajaan yang kukuh dan stabil untuk melaksanakan dasar-dasar prihatin rakyat, mempertahankan prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang serta memaju dan memakmurkan negara.

"Hasilnya dapat dikongsi oleh semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan wilayah,” kata beliau.