Anak saudara mendiang James Masing teruskan agenda pembangunan Baleh

Nicholas Kudi Jantai Maseng - Foto Bernama
Nicholas Kudi Jantai Maseng - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Nicholas Kudi Jantai Masing, anak saudara bekas Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing akan meneruskan legasi bapa saudaranya dalam membawa pembangunan kawasan Baleh.

Pada Jumaat, Nicholas Kudi, 36, diumumkan sebagai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi Baleh menggantikan mendiang James Masing yang menjadi wakil rakyat kawasan itu selama 38 tahun, sebelum meninggal dunia pada 31 Oktober lepas.

“Antara isu yang utama di kawasan pedalaman Baleh adalah isu pembangunan infrastruktur bagi meningkatkan taraf hidup penduduk di kawasan luar bandar supaya kawasan itu sama-sama membangun seperti di bandar besar lain.

“Isu ekonomi di kawasan luar bandar juga akan menjadi agenda utama kami, bagaimana membina masa depan orang muda bagi kawasan Baleh,” katanya yang merupakan antara calon muka baharu yang diketengahkan GPS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Baleh kawasan pedalaman terletak di sempadan Kalimantan.

Jelas Nicholas Kudi, beliau menaruh keyakinan yang amat tinggi untuk mempertahankan kerusi Baleh berdasarkan kepada kemampuan jentera GPS yang kukuh dan stabil terutamanya dalam mengetengahkan orang muda sebagai calon pilihan raya negeri.

"Kami mahu memberi inspirasi kepada golongan muda di negeri ini yang mahukan sebuah parti politik yang stabil dalam memimpin negeri," menurut beliau.

Pada Jumaat, Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan parti itu akan bertanding di kesemua 82 kerusi pada PRN ini dengan 24 daripadanya terdiri daripada muka baharu.

Artikel Berkaitan:

Pada PRN Ke-11 2016, James Masing memenangi kerusi berkenaan selepas memperoleh 5,272 undi berbanding calon DAP, Agop Linsong yang hanya mendapat 479 undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penaman calon pada 6 Disember ini, manakala pengundian awal pada 14 Disember dan pengundian pada 18 Disember depan. - Bernama