X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 21 Januari 2022

Mavcom ramal trafik penumpang akan stabil mulai 2025

Wee Ka Siong
A
A

MUKAH - Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) meramalkan trafik penumpang akan stabil dan mencapai tahap seperti mana yang direkodkan sebelum pra-pandemik mulai tahun 2025.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, ia susulan jangkaan penguncupan trafik penumpang udara antara 70.7 peratus dan 74.2 peratus tahun ke tahun, atau kepada 6.9 juta hingga 7.8 juta penumpang bagi tahun 2021.

“Susulan impak Covid-19, sektor pelancongan dan penerbangan amat terkesan dan mengalami ketidaktentuan pasaran yang telah menjejaskan industri penerbangan negara.

“Kesan penularan wabak Covid-19 terhadap ekonomi dunia dan negara, terutamanya aspek perubahan corak permintaan pelancong dan sektor penerbangan memerlukan satu tempoh pemulihan yang dijangka memakan masa antara tiga hingga empat tahun, tertakluk kepada situasi semasa penularan wabak ini di dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Lapangan Terbang Baharu Mukah, di sini pada Sabtu.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata kementerian akan turut menilai semula cadangan projek pembinaan lapangan terbang baharu dan menaiktaraf lapangan terbang sedia ada berdasarkan perkembangan terkini dan kekurangan permintaan dalam industri penerbangan negara.

Penilaian semula itu, jelas beliau adalah berdasarkan keutamaan dengan mengambil kira pelbagai faktor termasuk keperluan mendesak penduduk-penduduk di kawasan pendalaman negara.

Bagaimanapun, tegas Ka Siong, Kerajaan Persekutuan akan berusaha melakukan yang terbaik kepada seluruh Keluarga Malaysia khususnya di Sarawak, bagi memastikan rakyat dapat menikmati dan mengecapi hasil pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Projek Lapangan Terbang Baharu Mukah merupakan salah satu contoh keprihatinan pihak kerajaan untuk memastikan keperluan dan kepentingan para penduduk sentiasa terpelihara.

“Projek ini dirancang bukan sahaja bertujuan untuk membolehkan kapasiti dan rangkaian pengangkutan awam di Sarawak dapat ditingkatkan, tetapi juga bertujuan untuk memberikan keselesaan dan pengalaman pengangkutan awam yang lebih baik kepada masyarakat setempat,” ujar beliau lagi.

Dalam masa yang sama, Ka Siong memaklumkan kementerian akan melaksanakan kajian National Airports Strategic Plan (NASP) pada hujung tahun ini, dan ia dijangka dimuktamadkan pada pertengahan 2023.

Kajian tersebut, jelas beliau adalah bagi memastikan keperluan pembangunan jangka panjang lapangan terbang dan padang terbang di negara ini dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa pihak industri dengan mengambil kira impak Covid-19, selain keperluan sistem jaringan kesalinghubungan pengangkutan negara.

“Kajian ini secara amnya akan membantu Kementerian Pengangkutan untuk menentukan hala tuju pembangunan lapangan terbang dan padang terbang (STOLPort) di Malaysia dari segi pembangunan infrastruktur fizikal, keperluan ruang udara, kajian ekonomi dan strategik agar cadangan pembangunan sesebuah lapangan terbang kelak, akan dilaksanakan berdasarkan kepada keperluan sebenar seperti mana dapatan kajian tersebut.

“Walau bagaimanapun, cadangan pembangunan lapangan terbang atau padang terbang bagi tujuan penyediaan perkhidmatan udara luar bandar akan diteruskan, tertakluk kepada kedudukan kewangan negara.

“Kementerian akan mempertimbangkan permohonan tersebut sekiranya terdapat keperluan mendesak penduduk-penduduk di kawasan pedalaman negara,” katanya.

Lapangan Terbang Baharu Mukah dibuka secara rasmi pada Jun lalu.

Lapangan terbang baharu bernilai RM300 juta itu akan menggantikan semua fungsi terminal padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) sebelum ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!