X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Melaka terima pelaburan RM4.26 bilion: Sulaiman

Sulaiman Md Ali
A
A

MELAKA - Melaka menerima pelaburan yang lebih tinggi berjumlah RM4.26 bilion bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 berbanding dua tahun sebelumnya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Nilai ini adalah lebih tinggi berbanding 2019 dan 2020 iaitu masing-masing hanya sebanyak RM0.9 bilion dan RM1.9 bilion," katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Kompleks Seri Negeri di sini pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, berikutan ketidaktentuan ekonomi dunia dan situasi pandemik Covid-19 yang masih belum reda prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka pada 2020 mencatatkan nilai penyusutan pada kadar negatif 5.9 peratus berbanding 2019 pada kadar 2.9 peratus.

Sulaiman berkata, sektor perkhidmatan dan pembuatan mendominasi struktur ekonomi dengan masing-masing menyumbang sebanyak 48.6 peratus dan 37.3 peratus manakala pertanian (11.2 peratus), pembinaan (2.4 peratus) dan perlombongan serta pengkuarian 0.1 peratus.

"Dengan segala ketidaktentuan dan pelbagai cabaran melanda sejak 2020, pelbagai sektor ekonomi mengalami penyusutan, tetapi Alhamdulillah, sektor pertanian mencatatkan peningkatan positif sebanyak 3.7 peratus iaitu daripada RM4.433 bilion kepada RM4.598 bilion.

"Kadar pengangguran Melaka pada 2020 mencatat kedudukan kedua terendah selepas Putrajaya, iaitu 2.2 peratus berbanding peringkat nasional pada kadar 4.5 peratus,” katanya.

Menurutnya, walaupun kadar pengangguran Melaka mencatatkan angka yang selesa, kerajaan negeri sentiasa melaksanakan inisiatif untuk membantu rakyat mencari pekerjaan khususnya kepada golongan muda contohnya melalui penganjuran program bersama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) iaitu Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans.

Sulaiman berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), Rolling Plan Pertama 2021, Melaka menerima peruntukan sebanyak RM369 juta untuk pelaksanaan 169 projek dan program yang telah dirancang sepanjang 2021.

Manakala dalam Bajet 2022 persekutuan, sebanyak 171 projek pembangunan dengan kos keseluruhan bernilai RM5.534 bilion telah diluluskan untuk dilaksanakan di negeri ini melibatkan RM574 juta untuk dibelanjakan pada 2022.

"Sebagai tambahan, sebanyak RM20 juta juga telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai projek berkenaan jaminan makanan, pelancongan serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar termasuk menangani isu banjir.

"Seterusnya, pentadbiran kerajaan negeri yang baharu akan merancang dan menyusun semula program dan projek sedia ada yang lebih sesuai, dinamik dan pragmatik untuk setiap kumpulan sasar melalui inisiatif Bajet 2022 Melaka dan juga projek secara penswastaan khususnya yang dirancang di Zon Pembangunan Ekonomi Persisiran Pantai Melaka (M-WEZ).

"Selain itu, permohonan program dan projek juga akan dipanjangkan kepada kerajaan Persekutuan melalui permohonan Rolling Plan Ketiga RMKe-12 bagi pelaksanaan tahun 2023," katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, kerajaan Persekutuan telah meluluskan lapan projek bernilai RM931.2 juta sebagai langkah penyelesaian jangka masa panjang bagi menangani isu banjir di negeri berkenaan.

Salah satunya adalah projek menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong-Durian Tunggal sebagai kolam dwi-fungsi untuk tebatan banjir dan sumber air yang mana ia merupakan yang pertama seumpamanya dilaksanakan di Malaysia.

Selain itu, katanya, sebanyak 27 projek jangka pendek bernilai RM17.6 juta akan dilaksanakan pada 2022 menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan dan negeri.

Menyentuh mengenai konsep Keluarga Malaysia garapan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Sulaiman berkata, idea berkenaan bukanlah satu retorik atau slogan semata-mata tetapi merupakan semangat yang diterapkan dalam pentadbiran negara, kepentingan dan kesejahteraan rakyat dipelihara seperti menjaga sebuah keluarga.

"Justeru, kerajaan negeri komited untuk memastikan perancangan pembangunan bagi tempoh lima tahun akan datang bersifat inklusif di mana tiada satu golongan pun yang akan tertinggal daripada menikmati manfaat perancangan tersebut," katanya. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!