Dua penjawat awam wanita disambung reman

Kedua-dua suspek diiring pegawai SPRM sebaik tiba di mahkamah.
Kedua-dua suspek diiring pegawai SPRM sebaik tiba di mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN – Tempoh reman Timbalan Pengarah dan seorang pegawai penguat kuasa sebuah jabatan kerajaan di negeri ini, disambung dua hari lagi sehingga Khamis ini untuk siasatan lanjut kerana disyaki membuat tuntutan palsu tahun lalu.

Perintah reman berkenaan dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban, Siti Huzaifah Abdul Talib selepas permohonan dibuat Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sembilan, Mohd Khairi Abdul Karim dan Pegawai SPRM Negeri Sembilan Riduan Kadri hari ini.

Kedua-dua suspek berusia 48 dan 32 tahun itu sebelum ini direman lima hari bermula Jumaat lepas selepas ditahan Rabu lepas di pejabatnya.

Menurut sumber, Timbalan Pengarah berkenaan disyaki membuat pengesahan penerimaan bekalan atau perkhidmatan daripada sebuah syarikat bagi menjalankan program Pengurusan Menangani Konflik Pegawai di Tempat Kerja berjumlah RM17,856, walhal program itu tidak dijalankan dan tiada bekalan atau perkhidmatan dibuat.

Siasatan lanjut juga mendapati terdapat beberapa lagi program tidak dijalankan antaranya Program Keterampilan Imej bernilai RM17,326.00.

Suspek juga telah menerima wang RM16,070 dan membuat pembelian barangan elektronik seperti Televisyen 65 inci jenama Samsung, empat buah komputer riba jenama Dell, satu set permainan elektronik jenama Nintendo, satu unit headphone jenama Beat Solo limited edition 90th year Mickey Mouse dan sebuah beg jenama Tumi.

Perbuatan itu dilakukan pada 21 November tahun lalu dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Artikel Berkaitan: