Covid-19: Kluster Intan Delima 2 catat pertambahan empat kes

Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran selama tujuh hari berkuat kuasa Khamis hingga Rabu depan membabitkan Kluster Intan Delima 2.
Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) Kuala Pilah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran selama tujuh hari berkuat kuasa Khamis hingga Rabu depan membabitkan Kluster Intan Delima 2.
A
A
A

KUALA PILAH - Kluster Intan Delima 2 mencatatkan pertambahan sebanyak empat kes menjadikan jumlah keseluruhan 36 kes positif Covid-19 membabitkan pelajar dan pensyarah Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan (KMNS) di Kuala Pilah setakat Sabtu.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah (JKPBD) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, kesemuanya telah ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di sini.

"Terdapat pertambahan dua kes iaitu masing-masing pada Jumaat dan Sabtu menjadikan jumlah keseluruhan ialah sebanyak 36 kes positif.

"Individu yang dikesan positif ini ada yang bergejala dan ada yang tidak, bagaimanapun setakat ini tiada yang memerlukan bantuan pernafasan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN:'Masa berkumpul tiada SOP, kes Covid-19 naik salahkan pelajar'

Sinar Harian sebelum ini melaporkan sebanyak 32 kes positif Covid-19 dilaporkan di daerah ini pada Khamis membabitkan kluster baharu iaitu kluster Intan Delima 2 membabitkan sebuah institusi pengajian awam.

Mengulas lanjut, Mohd Faizal berkata, keadaan kes adalah terkawal, malah pengurusan kolej memberikan kerjasama terbaik dalam menguruskan pelajar yang dikuarantin termasuk makan minum dan hal ehwal kebajikan pelajar.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, KMNS dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran selama tujuh hari berkuat kuasa Khamis hingga Rabu depan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan risiko jangkitan terutama kepada masyarakat luar dapat dielakkan.

"Tiada pergerakan keluar atau masuk dibenarkan sepanjang tempoh tersebut dilaksanakan," jelas beliau.

Veerapan berkata, satu jawatankuasa khas diwujudkan bagi menyelaras hal ehwal pentadbiran termasuk penyediaan makanan, kawalan keselamatan dan pengurusan pembuangan sisa domestik.

ARTIKEL BERKAITAN:PKPD pentadbiran di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan

Dalam pada itu, Pengarah Keselamatan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Sembilan, Roslin Abd Hamid berkata, setakat Sabtu, tiada PKPD dikenakan terhadap institusi pengajian lain di negeri ini, manakala jangkitan Covid-19 di sekolah harian juga terkawal.

Beliau berkata, pihak sekolah menggunakan kaedah serta protokol kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).