Penjawat awam rugi RM6,000 terpedaya Macau Scam

Chang Hook
Chang Hook
A
A
A

JEMPOL - Seorang penjawat awam wanita kerugian RM6,000 selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai kakitangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cyberjaya pada Khamis lalu.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 23 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai R Ravi.

Menurutnya, lelaki berkenaan mendakwa mangsa ada tunggakan cukai sebanyak RM58,500.82 selain memaklumkan panggilan tersebut adalah notis terakhir dan mangsa perlu menjelaskan bayaran tersebut sebelum jam 4 petang.

"Selain itu, suspek juga memaklumkan bahawa nombor kad pengenalan mangsa telah didaftarkan atas sebuah syarikat bertempat di HSM Cawangan Kota Bahru Kelantan dan tarikh kelulusan pada 25 Ogos tahun lepas.

"Suspek kemudiannya bertanyakan mengenai akaun bank mangsa yang aktif iaitu ada kemasukan dan pengeluaran wang.

"Suspek turut meminta nama pengguna dan kata laluan akaun bank mangsa sebelum mangsa memberikan apa yang diminta termasuk nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC)," katanya.

Chang Hook berkata, mangsa berasa ditipu setelah suspek memintanya menukar nama pengguna dan kata laluan akaun bank sebelum membuat semakan melalui aplikasi dalam talian dan mendapati wang dalam akaun miliknya telah berkurangan sebanyak RM6,000.

"Mangsa tampil membuat laporan pada Jumaat di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: