MUIS disaran perkenal enakmen baharu perkasa ekonomi di Sabah

Mohd Arifin
Mohd Arifin
A
A
A

KOTA KINABALU - Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) perlu memain peranan dalam usaha menambah baik dan memperkenal enakmen baharu bagi mengukuhkan ekonomi serta sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat Islam di Sabah selain memperkasa badan itu.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sekiranya wujud keperluan enakmen baharu, ia akan dirujuk kepada Peguam Besar Negeri sebelum dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri untuk diluluskan.

"Kita lihat MUIS telah mencapai beberapa kecemerlangan antaranya berjaya mendapat Pensijilan ISO 9001:2015 membuat beberapa inovasi termasuk hab halal dan memperkasa wakaf.

"Semua ini ada kaitan dengan peranan MUIS sebagai pembuat dasar dan tertakluk kepada enakmen-enakmen yang telah sedia ada," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Apresiasi MUIS di sini malam Jumaat.

Sementara itu, Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, MUIS telah melakar beberapa kejayaan antaranya memperoleh Sijil Bersih daripada Jabatan Audit Negara untuk dua tahun berturut-turut bagi prestasi Penyata Kewangan 2019 dan 2020.

Beliau berkata, nilai pelaburan saham juga telah meningkat sebanyak RM22 juta atau 30.5 peratus iaitu merekodkan RM94 juta pada 2020 berbanding RM72 juta pada tahun 2018.

"Setakat November lalu, pungutan dan agihan zakat dilihat begitu memberangsangkan. Pada ketika ini pungutan zakat telah mencatatkan sejumlah RM100.6 juta manakala agihan berjumlah RM78 juta," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: