Puak LGBT sengaja undang provokasi: MBM

A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) berpandangan perarakan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sempena Hari Wanita Sedunia dilihat sengaja mengundang provokasi kepada majoriti masyarakat.

Presiden MBM, Jufitri Joha berkata, peserta perhimpunan sewajar tidak mengundang provokasi yang merosakkan ketenangan dan kestabilan masyarakat kerana keamanan perlu diutamakan.

“MBM juga menasihatkan agar setiap himpunan mempunyai permit dan mengikut lunas-lunas undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Penganjur himpunan LGBT perlu dikenakan tindakan tegas

Menurutnya, kebebasan ada had dan batasannya yang disempadani dengan perlembagaan, undang-undang, agama dan norma-norma masyarakat.

Jufitri berkata, perhimpunan Hari Wanita Antarabangsa sewajarnya memfokuskan kepada isu pokok berkaitan hak wanita, keganasan gender, gaji minima, keganasan domestik dan perkahwinan kanak-kanak di bawah umur.

“MBM juga yakin pendirian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak kerajaan menolak budaya hidup LGBT, namun dalam masa yang sama menegaskan golongan berkenaan tidak wajar didiskriminasikan hak mereka,” katanya.

Sabtu lalu, himpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang diadakan di Dataran Merdeka dicemari kehadiran penyokong LGBT.

Dianggarkan kira-kira 1,000 peserta terdiri daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan aktivis menyertai himpunan tersebut.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia