Ibu, teman lelaki ditahan disyaki bunuh kanak-kanak lima tahun

Dzulkhairi
Dzulkhairi
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ibu bersama teman lelakinya ditahan kerana disyaki membunuh anak kandungnya yang berusia lima tahun di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia 32 dan 35 tahun itu ditahan sebaik menerima aduan daripada pihak hospital berhubung kematian mangsa.

Beliau berkata, penahanan suspek dilakukan secara berasingan yang mana ibu kandung mangsa ditahan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), manakala teman lelakinya ditahan di kediaman mereka di Taman Nusa Bistari di sini.

“Polis menerima makluman pada jam 12.20 tengah hari (3 Disember) daripada petugas HSA mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki dengan kesan lebam dan mencurigakan.

“Pemeriksaan kemudiannya mendapati mangsa mengalami kecederaan di bahagian mulut dan lebam di bahagian depan serta belakang badan yang dipercayai akibat didera,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dzulkhairi berkata, siasatan awal mendapati mangsa sebelum ini memang tinggal serumah dengan kedua-dua suspek bersama seorang adik dan kakaknya.

Menurutnya, pemeriksaan unit forensik di kediaman pasangan itu turut menemui barangan yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa berupa getah paip di sinki bilik air, batang kayu dan paip poli di atas sofa dengan kesan darah.

“Berdasarkan pemeriksaan awal pihak HSA, mangsa dipercayai telah meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital yang mana telah dihantar sendiri oleh suspek.

Artikel Berkaitan:

“Proses bedah siasat akan dijalankan pada jam 9 pagi pada Sabtu (4 Disember) di bilik mayat HSA selepas keputusan saringan Covid-19 ke atas mangsa diperoleh,” katanya.

Beliau berkata, semakan terhadap suspek turut mendapati kedua-dua mereka mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan empat rekod di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Bagaimanapun, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua mereka negatif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.