X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 27 Januari 2022

140 mangsa banjir di Terengganu dipindahkan ke tujuh PPS

Gambar hiasan.
A
A

KUALA TERENGGANU - Hari ketiga banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) meningkat kepada 140 mangsa membabitkan 54 keluarga setakat jam 8 pagi pada Sabtu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan, seramai 96 mangsa daripada 43 keluarga di beberapa kawasan di Kuala Nerus dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Mengabang Telipot dan Surau Mak Jintan sejak Jumaat.

"Di Setiu, sehingga kini, mangsa paling ramai ialah di Masjid Gong Terap yang menempatkan 56 mangsa daripada 33 keluarga diikuti Masjid Chalok Kedai (19 mangsa, empat keluarga), Balairaya Kampung Bukit Mak Som (13 mangsa, dua keluarga) dan SK Kampung Besut (lapan mangsa, empat keluarga).

"Besut menjadi daerah terbaharu yang dilanda banjir di Terengganu apabila satu PPS dibuka lewat petang Jumaat iaitu di SK Kampung Baharu yang menempatkan 10 mangsa daripada empat keluarga," kata kenyataan itu pada Sabtu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan tiada sungai yang melepasi paras bahaya setakat jam 7.45 pagi Sabtu.

Hanya Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu menunjukkan bacaan setinggi 12.56 meter (m) melebihi paras amaran 12m. Di daerah Hulu Terengganu pula, bacaan di Empangan Tembat setinggi 430.49m berbanding paras amaran 430m.

Sehingga jam 4 petang pada Jumaat, sebanyak lima PPS dibuka iaitu empat di Setiu dan satu di Kuala Nerus bagi menempatkan 135 mangsa berbanding 45 mangsa di tiga PPS pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN:Hujan lebat berterusan di Kelantan, Terengganu sehingga esok

ARTIKEL BERKAITAN:Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 135 orang


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!