Pandangan TMJ wajar, ada asasnya: Pemuda Umno Johor

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim
A
A

JOHOR BAHRU - Pemuda UMNO Johor menyifatkan pandangan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai Statut Rom sebagai wajar dan ada asasnya.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pihaknya berpendirian tindakan kerajaan menandatangani perjanjian Statut Rom adalah suatu tindakan yang terburu-buru dengan pertimbangan yang tidak munasabah.

“Dalam masa sama kerajaan gagal untuk menerangkan kepada umum apakah tujuan dan matlamat utama Malaysia menandatangani perjanjian ini,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, antara intipati penting perjanjian itu adalah berkaitan artikel yang memperuntukkan bahawa ‘kekebalan atau peraturan-peraturan khas yang terpakai bagi seseorang semasa menyandang jawatan rasminya di bawah undang-undang domestik atau antarabangsa tidak boleh menghalang Mahkamah Jenayah Antarabangsa daripada melaksanakan bidang kuasanya ke atas orang sedemikian’.

"Artikel ini secara tidak langsung menyentuh kekebalan Yang Dipertuan Agong dan Raja-Raja Melayu seperti termaktub di bawah Perkara 32 (1), Perkara 181(2), Perkara 182 dan Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan.

“Perjanjian Statut Rom akan memberikan kuasa kepada ICC bagi membicarakan Yang Dipertuan Agong sebagai Pemerintah Angkatan Tentera Malaysia jika berlaku kes-kes di dalam bidang kuasanya. Secara tak langsung perjanjian ini adalah campur tangan luar terhadap Yang Di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sekali gus mengancam kedaulatan institusi tersebut,” katanya.

Mohd Hairi berkata, Pemuda UMNO Johor berpendirian bahawa kerajaan harus berbincang dengan Majlis Raja-Raja terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menandatangani perjanjian tersebut.

“Terutamanya bagi perkara yang melibatkan kesan besar terhadap institusi monarki, namun ternyata kerajaan gagal melakukan sedemikian sebaliknya membelakangkan institusi raja-raja.

“Sebagai bukti perjanjian ini diputuskan oleh kerajaan pada 12 Disember 2018 lalu dan Menteri Luar hanya mengadap Yang di-Pertuan Agong memaklumkan keputusan tersebut pada 15 Februari yang lalu,” katanya.

Menurutnya, Pemuda UMNO Johor juga berpandangan bahawa Malaysia tidak mempunyai keperluan segera dan terburu-buru untuk menandatangani Statut Rom.

“Kerana di bawah Artikel 12(3) perjanjian tersebut membenarkan mana-mana negara bukan ahli untuk mengizinkan ICC melaksanakan bidang kuasanya ke atas sesuatu kesalahan yang berlaku di negara mereka.

“Contohnya jika berlaku jenayah perang di Johor, Kerajaan Malaysia boleh membenarkan ICC membicarakan pihak terlibat walaupun Malaysia tidak menandatangani Statut Rom,” katanya:

Mohd Hairi berkata, menjadi tanda tanya mengapa negara kuasa-kuasa besar seperti China, Amerika Syarikat dan Rusia yang juga ahli tetap Majlis Keselamatan bukan negara ahli Statut Rom.

“Negara-negara jiran seperti Thailand, Brunei dan Singapura juga didapati bukan ahli, maka mengapa Malaysia terlalu bersungguh untuk menandatanganinya?

“Maka apa yang dipersoalkan oleh TMJ adalah wajar dan beliau berhak mempersoalkan tindakan Kerajaan. Kegagalan untuk memberi penjelasan dan mendapatkan konsultansi umum dari rakyat dilihat sebagai perbuatan khianat terhadap kepercayaan diberikan kepada kerajaan untuk memimpin negara,” katanya.

Menurutnya, sebagai Bangsa Johor, Pemuda UMNO Johor juga kecewa dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan TMJ seolah-olah tidak layak menyuarakan pandangan mengenai keputusan kerajaan kerana bukan seorang Wakil Rakyat.

“Bagaimana seorang pemimpin yang diangkat oleh rakyat menidakkan suara anak kepada Sultan yang mahu membela dan tidak jemu menjaga kebajikan rakyat jelatanya?

“Mana suara Armada Bersatu dalam isu ini? Takkan ketuanya anak jati Johor hanya diam membisu atau mahu menunggu lehernya 'dicekak' sekali lagi baru terpacul suara dari mulutnya?,” katanya.

Mohd Hairi berkata, justeru Pemuda UMNO Johor mendesak kerajaan segera tampil memberi penjelasan kerana rakyat berhak mengetahui apakah motif disebalik usaha terburu-buru itu.