‘Pencetus idea, bukan pesaing’

Laporan Sinar Harian pada 26 November lalu. (Kanan: Badlishah)
Laporan Sinar Harian pada 26 November lalu. (Kanan: Badlishah)
A
A
A

SHAH ALAM - Penubuhan Better Malaysia Assembly atau Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik bukan hendak bersaing dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN), sebaliknya membantu menambahkan lagi cetusan idea untuk kebaikan negara.

Timbalan Presiden Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Badlishah Sham berkata, penambahan cetusan idea tersebut sebenarnya dapat menetapkan hala tuju negara yang lebih baik.

“Saya faham memang wujud majlis seperti MPN tetapi kita bukan competitor (pesaing).

“Dari segi rohnya, banyak persamaan dalam mencari solusi kepada permasalahan negara tetapi kita bukan hendak bersaing dengan MPN.

“Saya yakin rakyat Malaysia ini tidak kurang minda-minda yang hebat dan boleh memikirkan idea bernas untuk membawa Malaysia ke arah lebih maju, aman dan makmur,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, kumpulan berkenaan membincangkan cadangan untuk reformasi dalam aspek pentadbiran, ekonomi, pendidikan, sosial serta perkara-perkara yang berkait untuk membina negara di atas landasan kukuh.

“Jadi benda-benda ini semua kita hendak cuba dalam Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik ini.

“Kita hendak bincang mengenai masalah itu dan kita nak cadangkan kepada kerajaan, Parlimen dan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, kita bersama-sama bergerak ke hadapan untuk membina Malaysia yang lebih baik,” ujarnya.

Jelas beliau, peranan untuk menetapkan hala tuju negara bukan milik sesiapa dan ia juga perlu diserahkan kepada rakyat.

“Biar rakyat yang menentukan hala tuju negara. Jadi, kita nak bersama untuk menyumbang idea ke arah kebaikan negara itu.

“Saya harap Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik ini boleh diterima oleh semua pihak. Insya-ALLAH kita akan terus menyumbang idea ke arah kebaikan negara,” jelas beliau.