OKU berdaftar dengan JKM masih rendah

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (belakang, tiga, kanan) bersama golongan OKU ketika merasmikan Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (belakang, dua, kanan). - Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (belakang, tiga, kanan) bersama golongan OKU ketika merasmikan Sambutan Hari OKU Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Jumaat. Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun (belakang, dua, kanan). - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih rendah.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkata, seramai 587,608 OKU berdaftar dengan JKM sehingga 30 November tahun ini.

"Bagaimanapun jumlah ini masih kecil berbanding anggaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu sekurang-kurangnya 15 peratus populasi negara terdiri daripada golongan OKU atau 4.8 Juta populasi OKU di negara ini.

"Kementerian akan terus berusaha supaya lebih ramai OKU dalam keluarga Malaysia mendaftar dengan JKM.

"Bersandarkan kepada iltizam ini juga, salah satu Aspirasi Keluarga Malaysia di bawah kementerian adalah memperkenalkan inisiatif MyDaftar OKU supaya kita mempunai pangkalan data dan sistem maklumat yang komprehensif," katanya dalam ucapan Program Malam Kasih OKU Keluarga Malaysia Sempena Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Peringkat Kebangaaan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Jumaat.

Menurutnya, MyDaftar OKU merupakan permohonan pendaftaran OKU secara dalam talian dan kad OKU digital akan dikeluarkan dalam tempoh 24 jam menggunakan QR Code.

"Pengurusan pendaftaran kad OKU melalui MyDaftar OKU akan memudahkan OKU tanpa mengisi borang secara manual, dan pengesahan ketidakupayaan oleh pakar, pegawai atau pengamal perubatan secara dalam talian sahaja.

"Sehingga 30 November, seramai 5635 OKU telah mendapat kad OKU Digital manakala 6,221 orang sedang disantuni," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut berharap supaya MyDaftar OKU menjadi penyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU.

"Pada masa sama, saya ingin menyeru agensi-agensi kerajaan dan syarikat swasta turut memberikan sokongan kepada usaha kementerian untuk mengalakkan pendaftaran secara aktif serta lebih agresif," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya Jabatan Perkhidmatan Awam mengiktiraf jurubahasa isyarat dengan mengembangkan peranannya sebagal salah satu skim perkhidmatan awam supaya menjadi satu bidang kerjaya atau profesion tetap.

"Untuk makluman, elaun jurubahasa isyarat sehingga hari ini dibiaya oleh kerajaan menerusi peruntukkan geran kepada Persekutuan Orang Pekak Malaysia melibatkan sejumlah RM363,600 bagi tahun ini.

"Saya pasti, pengiktirafan jurubahasa isyarat sebagai satu profesion merupakan hadiah yang sangat bernilai kepada sahabat OKU kerana membuka peluang pekerjaan baharu kepada golongan

ini mahupun individu normal lain yang mempunyai kemahiran dalam bahasa isyarat," katanya.