Tujuh vaksin suntikan penggalak hasilkan tindak balas imun

Gabungan vaksin memberi kesan positif kepada golongan muda dan yang lebih tua. - Foto Agensi
Gabungan vaksin memberi kesan positif kepada golongan muda dan yang lebih tua. - Foto Agensi
A
A
A

PARIS - Tujuh vaksin yang digunakan untuk suntikan penggalak Covid-19 didakwa menghasilkan tindak balas imun yang tinggi walaupun ia menunjukkan keputusan berbeza berdasarkan gabungan vaksin.

Keputusan diterbitkan menerusi jurnal perubatan The Lancet itu diperoleh berdasarkan kajian terhadap kira-kira 3,000 individu untuk membandingkan pelbagai gabungan vaksin dan kesannya selepas suntikan dos ketiga pada Jun lalu.

Kesemua individu yang sudah menerima dos lengkap AstraZeneca atau Pfizer itu diberikan dos ketiga vaksin berbeza seperti CureVac, Moderna, Novavax, Valneva atau Janssen dalam tempoh antara dua dan tiga bulan selepas mendapatkan dos kedua.

"Hampir keseluruhan pesakit kecuali kumpulan plasebo memberi tindak balas imun yang positif. Bagaimanapun, penerima vaksin Pfizer yang diberikan suntikan penggalak Valneva tidak menunjukkan sebarang perbezaan.

"Kesemua vaksin tersebut meningkatkan imuniti dalam golongan muda dan mereka yang lebih tua," jelas kajian itu lagi.

Difahamkan, penyelidikan selanjutnya juga akan melihat tahap imun antara tujuh hingga lapan bulan selepas pemberian dos pertama dengan keputusannya dijangka diperoleh pada tahun depan. - AFP

Info:

(Kempen vaksinasi global)

Artikel Berkaitan:

>Dalam tempoh kira-kira setahun selepas program imunisasi Covid-19 dilancarkan, sebanyak 55 peratus daripada 4.3 bilion populasi dunia telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama.

>Kira-kira 44 peratus atau 3.4 bilion sudah diberikan dos lengkap.

>Data AFP menunjukkan sebanyak 8.1 bilion dos diberikan seluruh dunia.

>Sebanyak 39 daripada 50 negara yang giat melancarkan kempen inokulasi itu ialah negara kaya.

>Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendahului program tersebut dengan sembilan daripada 10 penduduk negara itu sudah divaksin. Ia disusuli dengan Portugal (87 peratus), Singapura (86 peratus), Qatar (85 peratus), Chila dan Malta (84 peratus), Cuba (81 peratus) Korea Selatan dan Kemboja (80 peratus).

>Burundi dan Republik Demokratik Congo merupakan negara mencatatkan kadar vaksinasi paling rendah di dunia dengan kurang 1 peratus populasi divaksin.

>Sehingga kini, Eritrea dan Korea Utara tidak melancarkan kempen imunisasi Covid-19.

>Negara berpendapatan tinggi di Eropah, Amerika Utara dan Teluk mendahului kira-kira 80 negara dalam melancarkan program suntikan penggalak dan kempen vaksinasi kanak-kanak berusia 12 hingga remaja 17 tahun.

>Negara seperti Amerika Syarikat (AS), Kanada, Israel, Chile, UAE, Cuba, Kemboja dan Venezuela turut memvaksin kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Skim perkongsian vaksin global COVAX sudah mengedarkan 591 juta dos kepada 144 negara atau wilayah. Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding sasaran awal sebanyak 2 bilion untuk 2021.

Sehingga kini, hanya 9 dos vaksin diberikan kepada setiap 100 penduduk di negara yang diklasifikasikan oleh Bank Dunia sebagai berpendapatan rendah.