Pekerja kedai makan maut, dua rakan parah, kereta rempuh pokok

Keadaan kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok berhampiran. - Foto ihsan PRDM
Keadaan kereta dinaiki ketiga-tiga mangsa yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pokok berhampiran. - Foto ihsan PRDM
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pekerja kedai makan maut manakala dua lagi rakannya parah selepas kenderaan yang dinaiki hilang kawalan sebelum terbabas, dalam kejadian di Jalan Kampung Bukit Kolam, di sini, awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa Muhammad Aziq Adam Abdul Raqib, 20, yang juga penumpang di hadapan disahkan maut di lokasi kejadian manakala dua rakannya masing-masing berusia 20 tahun dilaporkan cedera parah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, pihaknya menerima laporan kejadian kira-kira jam 5 pagi memaklumkan berlaku satu kemalangan di lokasi melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga FL yang terbabas sendiri.

Jelas beliau, siasatan awal mendapati mangsa bersama dua rakannya bertolak dari kedai makan Binjai Rendah hendak pulang ke rumah masing-masing kira- kira jam 3 pagi.

"Setibanya di lokasi iaitu kira- kira lebih kurang jam 4 pagi, kenderaan dipandu rakan mangsa yang bekerja di sebuah kilang kayu dipercayai hilang kawalan sebelum berpusing ke bahu jalan sebelah kiri arah menghala ke Ajil lalu melanggar sebatang pokok berhampiran.

"Akibat kejadian, kesemua mangsa yang berada dalam kenderaan berkenaan tersepit sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba, pemandu kereta dan penumpang belakang yang mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan.

"Mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu, di sini bagi tujuan bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Kes berkenaan disiasat mengikut 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: